TAHANAN Palestin yang lolos diri dari penjara Israel bulan ini mula menggali terowong untuk mereka melarikan diri pada Disember, kata peguam kepada dua tahanan yang ditangkap semula pada Rabu.
Enam tahanan melarikan diri dari penjara Gilboa di utara Israel pada 6 September selepas menggali terowong di bawah sinki di sel mereka.
Pasukan keselamatan Israel melancarkan perburuan besar-besaran di Israel dan Tebing Barat yang diduduki, dan berjaya menangkap empat daripada mereka.
Peguam bagi dua yang ditangkap, Mahmud Abdullah Ardah dan Yaqub Qadri, pada Rabu mendedahkan perincian pelarian mereka.
“Mahmud memberitahu beliau mula menggali (terowong) pada Disember,” kata peguamnya Roslan Mahajana kepada AFP selepas mengunjunginya dalam tahanan.
Ardah mengaku sebagai perancang utama dan berkata menggunakan sudu, piring dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong dari sel penjara.
“Mereka mula menyoalnya selepas ditangkap kerana percaya beliau yang merancang dan melaksanakan operasi,” kata peguam itu.
Peguam Qadri memberi penjelasan sama mengenai pelarian mereka.
“Qadri memberitahu saya proses bermula pada 14 Disember dan inilah yang beliau katakan kepada penyiasat Israel,” kata Hanane Khatib, tanpa mengulas lanjut.
Dalam wawancara dengan televisyen Palestin, penguam itu berkata anak guamnya “sangat gembira walaupun ditangkap kerana dapat berkeliaran selama lima hari” sehingga ditangkap.
Peguam itu berkata tahanan tidak merancang untuk melarikan diri pada 6 September, tetapi mereka bergegas meneruskannya pada hari itu kerana bimbang pengawal menjadi curiga dan melihat perubahan di dalam sel mereka. – AFP, 16 September, 2021.
Komen