CITF-A sasar 60% remaja divaksinasi sekurangnya satu dos November ini


Ragananthini Vethasalam

Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata keutamaan diberikan kepada remaja 16 dan 17 tahun yang menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komordit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

KIRA-KIRA 60% remaja berusia 12 hingga 17 tahun dijangka mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19 pada November, kata Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A).

CITF-A juga menyasarkan 80% kumpulan sasaran itu lengkap divaksinasi sebelum sekolah dibuka semula untuk sesi 2022.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan memberi keutamaan kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun yang menduduki peperiksaan awam selain remaja dengan komorbid.

“Program ini juga menyasarkan murid di sektor pendidikan swasta, remaja dalam institusi perlindungan dan pemulihan serta remaja dalam komuniti seperti remaja gelandangan, pelarian, dan bukan warganegara,” kata CITF-A dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga memohon semua sekolah, institusi pendidikan, rumah perlindungan dan pusat pemulihan untuk mendaftarkan institusi masing-masing di Portal-Vaksin-Anak-ku.

Sebaliknya, ibu bapa dan penjaga disaran mendaftarkan anak mereka melalui MySejahtera, yang juga membolehkan sijil vaksinasi digital dikeluarkan kepada mereka, kata CITF-A

Tambahnya, program vaksinasi akan dibuat secara jangka luar (outreach) di sekolah dan institusi berkaitan.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir bersama ibu bapa atau penjaga, mereka akan diberi janji temu di klinik kesihatan terdekat melalui MySejahtera.

Remaja dengan komorbid diminta mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

Vaksin jenama Pfizer-BioNTech akan diberikan untuk remaja.

Diketuai Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, CITF-A ditugaskan untuk membuat penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja.

Sarawak negeri pertama memulakan program vaksinasi untuk remaja. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen