Kilang bukan punca lonjakan kes Covid-19, kata Azmin


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menyanggah dakwaan hampir keseluruhan kes Covid-19 dalam negara disumbangkan oleh sektor perkilangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

DAKWAAN bahawa hampir keseluruhan kes Covid-19 dalam negara disumbangkan oleh sektor perkilangan adalah tidak tepat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Hanya 6.1% jangkitan membabitkan sektor pembuatan antara 1 Jun hingga 30 Ogos tahun ini, tambahnya, merujuk kepada data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). 

Menurut Azmin, dalam tempoh yang sama juga, 761 daripada 2,521 kluster melibatkan sektor pembuatan, bersamaan 70,317 kes atau hanya 6.1% daripada jumlah keseluruhan 1.15 juta kes yang dicatatkan.

“Penyumbang terbesar jumlah kes, iaitu hampir 70% datangnya daripada kes sporadik, yang bukannya berbentuk kluster,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan (Pejuang-Jerlun) Mukhriz Mahathir.

Mukhriz bertanyakan mengenai rasional lebih banyak kilang dibenarkan untuk beroperasi ketika jumlah kes Covid-19 dalam negara semakin meningkat. 

Azmin turut menegaskan hanya syarikat dalam sektor kritikal dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Saya ingin memaklumkan bahawa tindakan kerajaan untuk membenarkan sektor pengilangan tertentu beroperasi adalah berdasarkan penelitian terperinci melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan adalah dibuat secara bersama setelah mengambil kira pandangan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kesihatan. Pendekatan yang diambil adalah melibatkan pertimbangan di antara kesihatan dan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Dalam pada itu, Karupaiya Mutusami (Padang Serai-PH) bertanyakan sama ada ciapan Twitter rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) pada 6 Ogos benar bahawa sektor perkilangan penyumbang terbesar kluster di Selangor.

Azmin dalam jawapan bertulisnya berkata antara 1 Jun hingga 6 Ogos sektor pengilangan menyumbang 12,399 kes, iaitu atau 53.2% daripada jumlah kes keseluruhan 23,321 kluster di Selangor.

Jika dibandingkan jumlah kes dalam sektor perkilangan dengan jumlah keseluruhan kes baharu di Selangorsektor tersebut hanya merangkumi 4.7% daripada keseluruhan 264,440 yang dilaporkan bagi tempoh sama.

“Oleh yang demikian, fakta yang dikeluarkan di dalam ciapan Twitter rasmi KKM pada 6 Ogos 2021 bahawa sektor perkilangan penyumbang terbesar kluster di Selangor adalah benar.

“Namun kita perlu melihat dengan lebih terperinci berdasarkan kes di mana sektor pengilangan di Selangor hanya menyumbang 4.7% jika dibandingkan dengan kes-kes baharu terkumpul di Selangor bagi tempoh yang sama,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata sektor perkilangan penyumbang terbesar bilangan kluster jangkitan Covid-19 di Selangor sepanjang Julai.

Dr Sha’ari berkata sebanyak 54% atau 96 daripada 180 kluster yang masih aktif membabitkan sektor kilang, diikuti kluster perkhidmatan, tapak binaaan, perniagaan dan komuniti.

KKM kemudian memadam kenyataan di Twitter,  yang menyebut sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kepada kluster di Selangor. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen