Tetapkan KPI 100 hari pertama menteri, kata ahli Parlimen BN


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Ismail Sabri ketika baru dilantik juga pernah berkata, setiap kementerian perlu buktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama. – Gambar Facebook Ismail Sabri, 15 September, 2021.

AHLI Parlimen (Umno-Jempol) Mohd Salim Mohd Sharif mencadangkan kerajaan menetapkan penanda aras (KPI) dalam tempoh 100 hari pertama anggota Kabinet.

Mohd Salim berkata, langkah itu dapat menunjukkan tahap serius anggota Kabinet kerajaan dalam fokus membawa negara dan rakyat keluar dari pandemik Covid-19.

“Bagi pastikan menteri Kabinet agar komited dan proaktif, saya cadangkan kementerian dan menteri bentang KPI supaya ia dapat dinilai rakyat sejauh mana prestasi menteri dan timbalan menteri.

“Tindakan ini sesuai dengan negara tadbir urus pemerintahan yang baik terdapat ketelusan dan keterbukaan dari segi maklumat.

“Seterusnya kementerian kena buktikan pencapaian tempoh 100 hari pertama tunjukkan ketegasan perdana menteri dan juga ahli Parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) mana-mana prestasi menteri atau timbalan yang tak memuaskan dalam tempoh 100 hari pastinya tindakan ini boleh gugur menteri atau timbalan atas penilaian rakyat itu sendiri,” katanya.

Mohd Sharif berkata demikian ketika berucap membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, langkah itu membolehkan anggota Kabinet bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan harapan rakyat dapat dicapai.

“Buktikan keseriusan kerana memupuk amalan kerja berprestasi tinggi jangka pendek dan panjang di semua kementerian diterajui menteri tersebut.

“Saya ingatkan rakan-rakan dalam Kabinet untuk bekerja dan lipat gandakan usaha kerana 100 hari pertama akan tamat pada 8 Disember 2021,” katanya.

Selepas diangkat menjadi perdana menteri, Ismail Sabri membentuk Kabinet daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dengan 38 timbalan menteri.

Seperti pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin Yassin, beliau juga tidak mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri.

Dalam perutusan pengumuman barisan Kabinet itu, Ismail Sabri berkata setiap kementerian perlu berorientasikan hasil berlandaskan tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan beramanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Oleh yang demikian, setiap kementerian katanya perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” kata Ismail Sabri. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen