POLIS di Ireland Utara pada Rabu berkata mereka telah menangkap empat lelaki di bawah Akta Keganasan berkaitan pembunuhan wartawan Lyra McKee.
Mereka berusia 19, 20, 21 dan 33 tahun, ditahan pada Rabu di Londonderry, barat laut Britain, di mana McKee dibunuh pada April 2019.
Mereka dibawa ke balai polis di Belfast, di mana mereka disoal siasat, kata Perkhidmatan Polis Ireland Utara.
“Penangkapan ini adalah hasil siasatan terperinci selama dua tahun mengenai pembunuhan Lyra dan kejadian yang berkaitan,” kata Detektif Superintenden Jason Murphy.
McKee, 29, ditembak di kepala ketika berdiri dekat sebuah kenderaan polis ketika pembangkang yang pro-Ireland bertembung dengan polis di daerah Creggan di Londonderry.
Londonderry dikenali sebagai Derry kepada republikan, yang mahu menamatkan kedaulatan Britain di wilayah tersebut yang memihak kepada penyatuan dengan Republik Ireland.
Pembunuhan McKee mencetuskan kemarahan meluas di seluruh Ireland Utara sehingga timbul gesaan supaya para ahli politik bersetuju memulihkan institusi pembahagian kuasa di wilayah itu.
Perkembangan pada Rabu berlaku setelah beberapa penangkapan sebelumnya dalam kes tersebut.
Penyiasat pada Februari mendakwa Paul McIntyre, 52, atas tuduhan membunuh.
Polis juga telah mengesahkan sepucuk pistol yang ditemui semasa pencarian di Londonderry adalah senjata yang telah digunakan untuk membunuh McKee. – AFP, 15 September, 2021.
Komen