Azalina pengerusikan sementara mesyuarat Dewan Rakyat


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Bekas timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said kembali mempengerusikan mesyuarat pada sidang sebelah petang hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

ANGGOTA Dewan Rakyat dikejutkan petang ini apabila bekas timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said kembali mempengerusikan mesyuarat pada sidang sebelah petang.

Azalina, yang letak jawatan pada 23 Ogos, menjelaskan kepada Dewan Rakyat tugasnya hanya sementara, atas permohonan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengikut aturan mesyuarat.

“Ini mengikut Aturan Mesyuarat 7(3) dan hanya sementara. Mungkin, salah seorang antara ahli yang berhormat (akan duduk di sini) minggu depan,” kata ahli Parlimen Pengerang.

Ahli Parlimen Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PH) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) bangun meminta penjelasan mengenai kedudukan timbalan speaker yang masih belum diisi.

Menurut Sim, kerajaan tidak sepatutnya menangguhkan pemilihan timbalan speaker yang sepatutnya dibuat semalam.

Semalam, kerajaan mengusulkan pemilihan itu tangguh sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah satu lagi kerusi timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menjadi tiga.

Pindaan itu juga akan mensyaratkan satu kerusi khusus untuk wakil rakyat pembangkang, kata menteri undang-undang dan parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

Usul penangguhan itu diluluskan secara undian suara apabila lebih suara bersetuju.

Aturan Mesyuarat 7(3) memberi kuasa kepada speaker untuk meminta mana-mana anggota Dewan Rakyat mempengerusikan sementara, dengan kuasa penuh selayaknya speaker atau timbalan speaker.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan ahli Parlimen Bersatu menolak pencalonan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker kerana mempertahankan pendirian parti tidak mendukung pemimpin yang integritinya diragui. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen