EU akan sumbang lagi 200 juta vaksin buat negara miskin


Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata tambahan 200 juta vaksin akan diberikan kepada negara miskin terutamanya negara di benua Afrika. – Gambar EPA, 15 September, 2021.

KESATUAN Eropah (EU) akan sumbang lagi 200 juta dos vaksin Covid-19 kepada negara miskin, lebih dua kali ganda berbanding janji sekarang, kata ketua blok itu pada Rabu.

Dos tambahan yang diumumkan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen sebagai tambahan kepada 250 juta suntikan yang telah dijanjikan EU kepada negara lain, terutama negara di benua Afrika.

“Saya boleh umum hari ini suruhanjaya akan tambah sumbangan baharu sebanyak 200 juta dos lagi hingga pertengahan tahun depan,” katanya kepada Parlimen Eropah dalam ucapan tahunan Negara Kesatuan Eropah.

Von der Leyen berkata kepada majlis Strasbourg, sumbangan itu adalah “pelaburan solidariti, dan ia juga pelaburan untuk kesihatan global”.

Beliau ambil maklum tentang perbezaan antara negara maju seperti Amerika Syarikat serta negara Eropah dengan negara miskin yang berjuang untuk mendapatkan bekalan vaksin.

“Dengan kurang dari satu peratus dos diberikan di negara-negara berpendapatan rendah, skala ketidakadilan dan peri pentingnya sangat jelas,” katanya.

Von der Leyen memuji peluncuran vaksinasi Kesatuan Eropah, yang telah menyaksikan lebih 70 peratus penduduk dewasa telah diinokulasi sepenuhnya.

Beliau berkata Eropah telah membuat lebih berbanding wilayah lain bagi mendapatkan dos vaksin ke negara lain, berkata separuh daripada 1.4 bilion vaksin yang dihasilkan di wilayahnya telah dieksport ke luar. – AFP, 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen