China komited perkasa hak asasi manusia, kata wakil khas


Wakil Khas Hak Asasi Manusia Kementerian Luar China Li Xiaomei berkata negara itu komited untuk menggalakkan usaha komprehensif dalam perkara berkaitan hak asasi manusia. – Gambar AFP, 15 September, 2021.

CHINA akan membuka lembaran baharu dalam bidang kerjasama hak asasi manusia antarabangsa selain terus bergerak aktif dalam usaha memperkasa hak-hak berkenaan.

Wakil Khas Hak Asasi Manusia Kementerian Luar China Li Xiaomei berkata ia akan dilaksanakan menerusi empat aspek.

“China komited untuk menggalakkan usaha komprehensif dalam perkara berkaitan hak asasi manusia,” katanya pada sidang taklimat Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Negara 2021-2025 oleh Jabatan Penerangan Dewan Negara China pada Selasa.

Li berkata China juga mahu memperkasakan nilai sesama insan yang bersifat damai, membangun, kesaksamaan, keadilan, demokrasi dan bebas serta membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Pertama, China akan memikul tanggungjawab antarabangsa dalam bidang hak asasi manusia secara bersungguh-sungguh.

“Sebagai negara membangun yang terbesar, pembangunan hak asasi manusia di China menjadi sumbangan yang paling penting bagi pembangunan hak asasi manusia dunia,” katanya.

Beliau berkata China juga akan memberikan perhatian mengenai peranan penting instrumen hak asasi manusia antarabangsa dalam perlindungan hak asasi manusia, terus mendorong pembangunan sosioekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasakan kesaksamaan dan keadilan masyarakat serta jaminan perundangan dalam bidang tersebut.

“Untuk aspek kedua pula, China akan menyertai secara aktif dalam kerja-kerja institusi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menurutnya, China akan menyertai kempen pemilihan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNCHR) sesi 2024-2026, memperkasakan prinsip keadilan dan objektif dalam hak asasi manusia PBB, menentang tegas langkah yang mempolitikkan isu hak asasi manusia dan dwistandard.

“Untuk aspek ketiga, China akan mengadakan dialog dan kerjasama yang bersifat membina.

“Sementara aspek keempat, China akan menyertai tadbir urus hak asasi manusia antarabangsa secara mendalam sambil mendorong pelbagai pihak mematuhi  manifesto dan prinsip yang terkandung dalam Piagam PBB,” katanya. – Bernama, 15 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen