Majoriti rakyat tertekan sejak PKP 2.0, kata kementerian


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Tinjauan LPPKN mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia semakin tertekan selepas gelombang ketiga pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

LAPAN daripada 10 rakyat Malaysia yang ditinjau berkata mereka semakin tertekan selepas gelombang ketiga pandemik Covid-19, kata kerajaan.

“Selepas tercetusnya gelombang ketiga dan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0, hampir 80% ibu bapa menyatakan kehidupan mereka mulai terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan mental.

“Sebelum tercetusnya gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP 2.0 pada awal tahun ini, 49.4% ibu bapa menyatakan kehidupan mereka dan keluarga hampir kembali normal dan majoriti daripada mereka mulai peka, faham dan mengamalkan cara kehidupan ‘norma baharu’,” menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Dapatan diperolehi berdasarjan tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 5 sehingga 14 Mac tahun ini.

Tinjauan membabitkan 1,148 responden yang terdiri daripada golongan ibu dan bapa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mempunyai anak berumur 7 hingga 24 tahun sahaja.

Antara maklumat penting yang diperolehi dari tinjauan tersebut adalah:

  • Hampir 28% ibu bapa menyatakan keadaan kewangan mereka semakin teruk berbanding ketika tempoh gelombang pandemik dan perlaksanaan PKP sebelumnya.
  • 84.1% ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda.
  • 21.3% ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres adalah disebabkan oleh pendidikan anak-anak.
  • 16.4% responden berkata mereka tertekan kerana penglibatan aktiviti luar yang terhad dan terpaksa berkurung.
  • 12.2% tertekan disebabkan tempoh pelaksanaan PKP yang tidak dapat dipastikan.

“Terkesan dengan tekanan emosi atau stres, 63.0% daripadanya pula menyatakan pernah mengalami kemurungan. Kesan dari kemurungan tersebut, 20.4% ibu bapa mula sukar mengawal kemarahan. 

” Ini diikuti dengan dengan yang sukar tidur dengan tenang (16.8%) dan kerap sakit kepala atau perut (15.8%),” jelas kementerian itu.

Selain itu, tinjauan juga mendapati ibu bapa menghadapi kesukaran mengendalikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak mereka.

“Walaupun 9 daripada 10 ibu bapa menyatakan telah mempunyai sekurang-kurangnya satu peranti (seperti iPad, tablet, komputer atau telefon pintar) bagi kegunaan anak-anak untuk PdPR, namun hanya 37.5% ibu bapa yang mampu menyediakan rangkaian Internet jalur lebar yang stabil dan baik di rumah.

“Majoriti (70.%) ibu bapa turut menyatakan persetujuan mereka bagi pembukaan semula sekolah dan pusat pengajian tinggi, dengan syarat pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Menurut kementerian lagi, 24.4% ibu bapa yang ditinjau berkata anak mereka mengalami masalah pemahaman pembelajaran, mudah bosan atau hilang fokus (19.2%) dan tiada peluang berinteraksi dengan guru (18.3%). 

Kementerian menjawab soalan dikemukakan Hasan Baharom (Tampin-PH) berkenaan statistik perceraian masyarakat luar bandar semasa pandemik dan sejauh mana tindakan kerajaan bagi menangani masalah tersebut. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen