TIGA bekas ejen perisik Amerika Syarikat (AS) mengaku di mahkamah Virginia semalam atas kesalahan turut serta dalam operasi penggodaman Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ditujukan kepada musuh dan pesaing negara Teluk itu.
Marc Baier, 49, Ryan Adams, 34, dan Daniel Gericke, 40, diperintahkan membayar denda AS$1.7 juta (RM7.07 juta), jumlah yang mereka peroleh semasa bekerja di UAE, untuk menyelesaikan tuduhan melanggar kawalan eksport AS, penipuan komputer dan akses komputer orang lain secara salah.
Mahkamah persekutuan Alexandria, Virginia bersetuju menangguhkan pendakwaan selama tiga tahun dalam kes yang rumit itu, menyerlahkan pasaran global kerajaan yang mencari pakar keselamatan komputer terlatih untuk mengintip musuh dan yang dirasakan ancaman.
Ketiga-tiga defendan pernah bekerja di komuniti perisik AS, termasuk Agensi Keselamatan Nasional dan tentera.
Menurut jabatan kehakiman, mereka bekerja untuk sebuah syarikat AS yang menyediakan operasi perisikan siber untuk kerajaan UAE yang memenuhi peraturan AS.
Mereka kemudian berpindah ke jawatan dengan gaji lebih tinggi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan UAE pada 2016, dikenali dalam laporan media sebagai DarkMatter, di mana mereka mula melakukan kerja penggodaman terhadap sasaran ditentukan, termasuk pelayan di AS.
Satu daripada pekerjaan itu memberi mereka akses haram ke “puluhan juta” telefon pintar dan peranti mudah alih, kata jabatan kehakiman.
Sasaran khusus operasi tidak dikenal pasti.
Namun, laporan media menyatakan sasarannya di dalam dan di luar negara, dan kaedah operasi terdiri daripada memuat naik perisian yang menjejaskan dan memanfaatkan kelemahan perisian dan perkakasan untuk masuk dan mendapatkan kawalan pelayan, telefon dan peralatan digital lain.
Selain membayar denda, ketiga-tiga tertuduh dilucutkan kelulusan keselamatan AS, dilarang dari komuniti perisik AS dan dilarang menggodam. – AFP, 15 September, 2021.
Komen