Tidak tandatangan MoU kerajaan bukan makna abaikan rakyat, kata Shafie


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Mohd Shafie Apdal berkata Warisan terbuka untuk menyokong mana-mana rang undang-undang yang dirasakan baik untuk rakyat, walaupun tanpa MoU itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

TIDAK menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan bukan bermakna Warisan tidak peduli tentang keadaan negara, kata presidennya Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna berkata, Warisan juga terbuka untuk menyokong mana-mana rang undang-undang yang dirasakan baik untuk rakyat, walaupun tanpa MoU itu.

“Adakah dengan tandatangan bermakna pentingkan rakyat, tapi bila tak tandatangan tak pentingkan rakyat dan negara?” tanya Shafie, semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Shafie, Warisan lebih berhati-hati dalam perkara itu kerana enggan terpalit sekiranya kerajaan melakukan kegagalan.

“Belanjawan kita boleh sokong kalau perbelanjaan baik untuk rakyat… tidak bermakna kalau tak tandatangan akan jejaskan kesatuan.

“Saya tak nak bila kerajaan gagal dan saya tandatangan memorandum itu saya juga gagal,” katanya.

Shafie juga berkata, kerajaan perlu membentangkan dengan telus butiran lengkap sesuatu rang undang-undang sebelum Warisan memberikan sokongannya.

“Kalau akta anti lompat parti itu landasannya, saya boleh bagi sokongan jika rang undang-undang itu kita dapat meterai. 

“Tapi apakah isi kandungan? Adakah bila orang itu lompat, pilihan raya diadakan, digantung sepanjang hayat tak boleh tanding arena politik, atau sebagainya… kita kena tahu isi kandungannya,” katanya. 

Isnin lalu, PH dan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di bangunan Parlimen.

Ia antara lain merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam perbahasan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam, beliau menegaskan persetujuan PH atas memorandum itu bukan bermakna mereka meninggalkan prinsip semak dan imbang kepada kerajaan.

Sebaliknya, Anwar menegaskan dakwaan kononnya mengatakan PH tunduk dengan desakan kerajaan demi kesejahteraan juga sebagai tidak berasas.

“Mereka tak baca lagi memorandum itu. Kita jelaskan hal yang kita tak setuju, salah guna kuasa, penyelewengan akan dibangkitkan, dalam dokumen ini kita tegaskan dalam tajuk peranan pembangkang.

“Kerjasama ini pendekatan baharu. Saya akui sikap positif Bera, kalau tidak tentu ada kesukaran. Keduanya, ada nasihat Raja-raja Melayu mengenai pentadbiran yang stabil. Apa tujuannya? Sudah pastilah untuk memerintah dengan baik,” kata Anwar.

Pihaknya juga menegaskan perjanjian itu bukan alasan Belanjawan 2022 diluluskan sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

Sebaliknya, segala perkara pokok terkandung di dalamnya harus dipersetujui melalui perbincangan dengan pembangkang sebelum segala persetujuan untuk menyokong dicapai.

“Ada yang kata kita wajib sokong Belanjawan 2022. Tidak benar. Kita boleh sokong atau berkecuali bagi Belanjawan 2022 selepas proses perundangan rang undang-undang dirundingi dan dipersetujui.

“Menteri dan pembangkang perlu ambil sikap terbuka duduk berunding. Kalau mahu kerjasama, sokong, berkecuali perlu ada rundingan tettapi kita bersetuju perkara asas,” katanya. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen