Lebih 1,700 individu LGBT dihantar ke kem Jakim tahun ini


Elill Easwaran

Jakim menerusi program Mukhayyam cuba membimbing LGBT mengubah gaya hidup atau orientasi seksual. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

SEHINGGA Jun tahun ini, 1,733 orang daripada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dihantar ke kem yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pemulihan, kata perdana menteri dalam jawapan bertulis Parlimen.

Program Mukhayyam adalah inisiatif rasmi kerajaan yang bertujuan membolehkan individu LGBT mengubah gaya hidup atau orientasi seksual mereka.

“Kerajaan memandang serius dengan isu berkenaan golongan LGBT di negara ini, Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada agama Islam sebagai agama persekutuan yang menerapkan nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang melanggar undang-undang perlu diambil tindakan. Namun begitu, pada masa yang sama, mereka perlu ditarbiah dengan cara yang paling berhikmah dan diberi kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan,” kata perdana menteri menjawab pertanyaan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar).

Abdullah meminta perdana menteri menyatakan komitmen kerajaan dalam menangani masyarakat LGBT di negara ini.

Jawapan perdana menteri menyatakan kem dikendalikan oleh Jakim menggunakan ajaran agama dan maklumat kesihatan, seperti mengenai HIV, untuk mengajar peserta.

“Sehingga Jun 2021 seramai 1,733 orang peserta di kalangan golongan LGBT yang telah mengikuti Program Mukhayyam Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta Pusat Zakat.” 

Inisiatif lain yang diambil adalah rancangan tindakan sosial Islam yang melibatkan pasukan petugas untuk membendung masalah, panduan dan program sokongan, pusat khidmat sosial, mewujudkan hotline MyCare Cov.19 dengan kaunselor, dan penerbitan bahan.

Di samping itu, terdapat 12 NGO Komuniti Hijrah daripada golongan LGBT beragama Islam berjaya ditubuhkan. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen