Segerakan undang-undang lompat parti, gesa Azalina


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said gesa kerajaan percepatkan pelan mengawal amalan lompat parti atas alasan katak boleh lompat bila-bila masa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meminta kerajaan menyegerakan pelan untuk mengawal amalan lompat parti atas alasan “katak boleh lompat bila-bila masa”.

“Katak tak peduli bila mereka hendak lompat. Mereka boleh lompat siang atau malam,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

 “Oleh itu, kerajaan sepatutnya menyegerakan undang-undang antilompat parti secepat mungkin.

“Dalam hal ini, saya harap kerajaan akan mempercepatkan rang undang-undang persendirian saya untuk dibahas di Dewan Rakyat dan menggunakannya sebagai asas undang-undang anti lompat parti,” kata bekas timbalan speaker itu.

Istilah “katak” merujuk pada wakil rakyat yang bertukar parti selepas terpilih dalam pilihan raya.

Sejak 2018, Umno hilang 15 kerusi Parlimen sementara PKR 13 kerusi apabila wakil rakyat mereka keluar parti dan menyertai Bersatu.

Oleh sebab wakil rakyat ada pelbagai alasan apabila mereka menyertai parti lain, Azalina berpendapat cara paling adil ialah untuk pengundi menentukan nasib wakil rakyat itu melalui referendum.

“Bukan semua ahli Parlimen lompat untuk diri sendiri. Ada yang dipecat, ada yang letak jawatan. Jadi, harus ada mekanisme untuk pengundi tentukan sama ada mahu mengganti atau tidak wakil rakyat mereka,” katanya.

Azalina sebelum ini dilapor mahu mengemukakan usul persendirian untuk menggubal sebuah akta memecat ahli Parlimen yang lompat parti.

Sementara itu, Azalina juga mencadangkan kerajaan supaya mengasingkan tugas pendakwaan jenayah daripada Pejabat Peguam Negara.

“Peguam negara dan pendakwa raya tidak boleh orang yang sama. Pendakwa raya tidak boleh dilantik oleh perdana menteri.

“Beliau mesti dilantik badan lain seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan mempunyai jaminan tempoh tugas,” katanya.

Ini supaya pendakwa raya bertindak bebas dan tidak dianggap sebahagian daripada eksekutif, tambahnya.

Azalina berkata tugas peguam negara, untuk menasihati perdana menteri dan kerajaan, boleh dibuat oleh seorang menteri.

“Peguam negara juga boleh menjawab bagi pihak kerajaan di Parlimen dan tidak lagi mengirim jawapan bertulis,” katanya.

Undang-undang anti lompat parti adalah antara syarat yang dipersetujui kerajaan dan Pakatan Harapan dalam memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik, yang dimeterai kelmarin. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen