Selesaikan 3 isu menjelang pelajar pulang ke universiti


KAMI mengalukan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad yang menjelaskan rancangan kembali ke universiti mulai 15 Oktober.

Ini merupakan inisiatif yang baik memandangkan sudah lama universiti ditutup. 

Pembelajaran dan pengajaran yang terbaik pada pandangan kami masih di universiti dengan sistem sokongan sosial dan infrastruktur yang baik.

Namun, kami ingin mencadangkan dan menggesa supaya memberi perhatian kepada isu-isu termasuk langkah-langkah berikut seiring dengan pengumuman yang dilakukan menteri:

1. Percepatkan vaksinasi pelajar dan tenaga kerja universiti. Menteri umumkan 66% daripada pelajar IPT menerima vaksin, manakala 90% kakitangan sudah lengkap divaksin. 

Kami ingin mencadangkan selain pelajar mendapatkan vaksin di PPV berdekatan mereka, universiti juga boleh dijadikan tempat pemberian vaksin untuk mereka yang kembali. Ini akan mudahkan dan percepatkan pemberian vaksinasi.

2. Pengurangan yuran sebanyak 20% bagi pelajar universiti awam juga merupakan usaha yang baik.

Bagaimanapun, kami ingin mencadangkan supaya inisiatif sama boleh diaturkan dengan pihak universiti swasta supaya yuran berpatutan juga dapat disesuaikan dengan keadaan semasa bagi mengurangkan beban ekonomi dan psikologi pelajar. 

Sekiranya yuran telahpun dibayar, proses pembayaran kembali atau reimbursement boleh dipertimbangkan.

3. Pihak kementerian perlu mengambil maklum kebajikan dan pengurusan penginapan pelajar bersama pihak universiti masing-masing untuk memastikan pelajar sentiasa ada bantuan menginap yang memadai sekiranya berlaku apa-apa perubahan yang tidak dijangka. 

Ini untuk memastikan pelajar tidak dibebankan dengan isu kewangan dan ketiadaan tempat tinggal dalam keadaan yang kurang menentu.

4, Memastikan pelaksanaan sistematik ujian saringan berkala melibatkan pelajar dan pengajar yang konsisten. Ini untuk memastikan keadaan kesihatan dan kebajikan pelajar sentiasa dapat diamati. 

Jika terdapat kes penularan, langkah-langkah yang seterusnya dapat diambil, tanpa lagi menutup kelas atau universiti dengan tidak terancang dan terdesak.

Pengumuman menteri dan kementerian merupakan langkah dan inisiatif yang baik, tetapi perancangan terperinci masih diperlukan. 

Universiti seperti sekolah harus disokong padu dan menjadi tempat paling selamat untuk golongan muda dan rakyat Malaysia. – 15 September, 2021.

* Dr Teo Lee Ken, Pengarah Dasar Muda dan Farah Mahmud, ketua Muda Sungai Buloh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen