Ketua mafia Itali di New York ditangkap


FBI menahan ketua organisasi jenayah terkenal di New York dan mendakwa 14 individu termasuk ketua dan ahli keluarga mafia Itali itu. – Gambar EPA, 15 September, 2021.

KETUA organisasi jenayah terkenal daripada satu daripada keluarga mafia Itali di New York dam beberapa ahlinya ditangkap semalam dan didakwa dalam kes peras ugut besar-besaran oleh pendakwa raya.

Pendakwaan dilakukan di mahkamah persekutuan Daerah Timur New York di Brooklyn terhadap 10 ahli keluarga Colombo atas tuduhan pelbagai jenayah termasuk pemerasan dan pengubahan wang haram.

“Kegiatan keluarga jenayah di New York City masih berleluasa,” kata pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Michael Driscoll dalam satu kenyataan.

Andrew Mush Russo, ketua keluarga Colombo berusia 87 tahun, orang kanannya Benjamin Castellazzo, 83, dan penasihat keluarga itu, Ralph DiMatteo antara 14 individu yang didakwa, kata pendakwa raya.

Russo dan Castellazzo ditangkap semalam dan dijadualkan didakwa melalui prosiding secara maya di Mahkamah Brooklyn.

Sementara itu, pendakwa raya berkata DiMatteo masih bebas.

Mereka dituduh melakukan usaha menyusup dan mengambil alih kesatuan pekerja, termasuk mendapatkan dana faedah perubatan.

Keluarga Colombo adalah satu daripada lima organisasi jenayah Itali-Amerika utama di timur laut Amerika Syarikat (AS).

Yang lain adalah keluarga Genov, Lucchese, Gambino dan Bonanno.

Seluruh keluarga Colombo, termasuk Russo dan Castellazzo, mengaku bersalah atas pelbagai kegiatan jenayah pada 2012.

Russo, yang disabitkan dengan tujuh kali kesalahan, kali terakhir dibebaskan dari penjara pada 2013.

Mafia New York dilemahkan dengan beberapa serangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penangkapan dan persaingan daripada organisasi jenayah lain, tetapi mereka masih dianggap aktif.

Ketua daripada keluarga Gambino, Frank Cali ditembak dan dibunuh di luar rumahnya di Staten Island, wilayah New York pada Mac 2019. – AFP, 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen