Bekas ketua kartel dadah di Mexico dipenjara 28 tahun


Bekas ketua dadah 'Juarez Cartel', Vicente Carrillo Fuentes dijatuhi hukuman penjara selama 28 tahun kerana mengedar dadah. – Gambar EPA, 15 September, 2021.

VICENTE Carrillo Fuentes, bekas ketua kartel dadah ‘Juarez Cartel’, dijatuhi hukuman penjara 28 tahun kerana mengedar dadah, kata pihak berkuasa Mexico pada Selasa.

Dia turut dituduh melakukan jenayah terancang dan mengumpul senjata secara haram, lapor Agensi Anadolu. 

Tertuduh ditahan pada Oktober 2014 di Coahuila dan satu daripada lima penjenayah paling dikehendaki Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA). 

Carrillo adalah dalang di sebalik peningkatan keganasan di kawasan utara Chihuahua, menjadikan Juarez sebagai satu daripada bandar paling berbahaya di dunia.

Dia mengetuai Juarez Cartel pada 1997 selepas abangnya Amado Carrillo, yang dikenali sebagai The Lord of the Skies, meninggal dunia selepas menjalani pembedahan plastik, yang dikatakan untuk mengubah penampilan fizikalnya bagi mengelak ditahan. 

DEA menyenaraikan Juarez Cartel sebagai pengedar utama dadah melalui sempadan Amerika Syarikat (AS) selain itu FBI turut mendakwa Carrillo terbabit dengan pembunuhan dan pengubahan wang haram. 

AS pernah menawarkan ganjaran US$5 juta untuk maklumat mengenai Carrillo. – Bernama, 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen