Belanjawan lebih besar dijangka bantu ekonomi, kebajikan rakyat, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Bantuan tunai kepada golongan miskin dan perniagaan kecil perlu dilanjutkan dalam belanjawan akan datang, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

PUTRAJAYA mungkin mengumumkan satu belanjawan pengembangan untuk 2022 ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi dalam suasana pandemik Covid-19, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata belanjawan pengembangan diperlukan untuk menangani isu kemiskinan akibat pandemik, keselamatan makanan dan pekerjaan selain memberi sokongan kepada perniagaan kecil dan sederhana susulan semakin banyak sektor ekonomi dan sosial mula dibuka semula.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar setakat ini bernilai RM322.5 bilion dan Belanjawaan 2022 dijangka mengatasi angka itu.

Pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia Irwan Shah Zainal Abidin berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada ekonomi rakyat dalam Belanjawan 2022.

“Ini adalah belanjawan pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, di mana beliau perlu menunjukkan bagaimana Konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan kepada dasar pembangunan kukuh yang dapat memberikan asas dan ekosistem untuk ‘keluarga Malaysia’ secara keseluruhan untuk makmur ketika era pandemik dan ekonomi pasca pandemik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain ekonomi rakyat, Irwan berkata perhatian perlu diberikan kepada pelaksanaan dasar ekonomi jangka sederhana dan panjang.

“Isu struktur ekonomi seperti isu perangkap pendapatan pertengahan juga perlu ditangani dalam belanjawan ini,” katanya.

Dalam taklimat pra belanjawan oleh Kementerian Kewangan, ia berkata ada keperluan untuk meningkatkan had hutang berkanun untuk menyediakan ruang fiscal tambahan dalam mengukuhkan ekonomi domestic dan memastikan pemulihan yang mampan.

Setakat ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mencadangkan menaikkan siling hutang berkanun daripada 60% kepada 65%.

Siling hutang semasa dinaikkan kepada 60% pada Ogos 2020. Kali terakhir ia dinaikkan sebelum itu ialah ketika krisis kewangan pada Julai 2009.

Pada masa ini, nisbah hutang kepada KDNK ialah 56.8% setakat 1 Jun sementara defisit naik kepada antara 6.5% dan 7%.

Selain ekonomi rakyat, penganalisis berkata perhatian perlu diberikan kepada pelaksanaan dasar ekonomi jangka sederhana dan panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

Meningkatkan pelaburan

Bagi merangsang pelaburan langsung asing (FDI) yang terjejas teruk akibat pandemik, pakar ekonomi Universiti Malaya Prof Rajah Rasiah berkata kerajaan perlu memperkenalkan insentif bagi menarik minat pelabur.

“Lebih baik jika belanjawan didatangkan dengan insentif dan geran untuk FDI yang akan fokus kepada merangsang penambahbaikan industri di dalam negara,” katanya.

“Jawatankuasa khas perlu ditubuhkan, terdiri daripada pegawai Miti, pakar akademik dan industri, untuk mempengaruhi pemilihan syarikat selain laluan jelas yang perlu disemak dari masa ke masa bagi membawa industri yang dikenal pasti sebagai strategik untuk mencapai sempadan teknologi.

“Penting untuk dinyatakan Malaysia bukan negara kekurangan modal, maka fokus sepatutnya kepada FDI berkuatli yang dapat membantu negara ditambah baik.”

Kementerian Kewangan dalam taklimatnya berkata rangka kerja insentif cukai sedang dilakukan bagi memastikan insentif cukai yang ditawarkan kepada pelabur asing dan tempatan kekal relevan, sementara terus menarik pelaburan berkualiti dan menyediakan pulangan positif kepada ekonomi negara dan kedudukan fiscal.

Pada 2020, FDI Malaysia menarik 54.5%, melaporkan RM14.6 bilion dalam FDI berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada suku pertama 2021, FDI negara berada pada RM9.1 bilion, berbanding RM6.8 bilion pada suku keempat 2020.

Sementara itu, penganalisis ekonomi di Institute of Strategic and International Studies (Isis) Calvin Chen berkata walaupun kerajaan menunjukkan komitmen dalam membantu perniagaan pulih daripada beberapa perintah sekatan pergerakan, ia perlu memperuntukkan bantuan tunai yang mencukupi pada belanjawan akan datang.

“Lebih banyak bantuan berasaskan tunai dalam bentuk geran dan subsidi kepada perniagaan kecil perlu diberikan tanpa perlu membuat permohonan,” katanya.

Geran dan subsidi itu juga perlu dibayar tepat pada masanya, dan kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk memberikan bantuan jangka panjang, katanya.

“Beri dasar yang lebih baik untuk perniagaan, termasuk SOP, membenarkan mereka beroperasi dengan selamat, memberi penjelasan lebih baik tentang perubahan prosedur itu pada masa depan.”

Selepas tiga perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan untuk menyekat penularan Covid-19, kerajaan kini mula membuka semula sektor ekonomi dan sosial yang sebelum ini ditutup.

Pembukaan semula ini memberikan gambara positif kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku kedua tahun ini.

KDNK mula memberikan timbal balas, merekodkan peningkatan 16.1% selepas mencatatkan pertumbuhan negatif bagi empat kali suku tahunan.

Pakej rangsangan dan bantuan tunai

Selain belanjawan, Irwan berkata kerajaan perlu meneruskan dan meluaskan lagi pakej rangsangan ekonomi sedia ada pada 2021 kerana negara ini masih dalam keadaan pemulihan.

“Saya fikir belum masanya untuk kerajaan menghentikan bantuan pakej ekonomi apabila tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) tamat akhir tahun ini,” kata Irwan.

Rajah berkata bantuan tunai kepada golongan miskin dan perniagaan kecil perlu dilanjutkan dalam belanjawan akan datang kerana bantuan semasa lebih konservatif dan cenderung kepada melindungi sektor kewangan.

“Belanjawan ini sekurang-kurangnya perlu fokus kepada membantu golongan miskin dan perniagaan kecil daripada terus miskin dan mati.”

Setakat ini, kerajaan memperkenalkan enam pakej rangsangan ekonomi bernilai RM580 bilion.

Sebanyak RM114.6 bilion disalurkan menerusi skim pembiayaan PKS, pinjaman PKS dan subsidi gaji, antara lain bagi membantu kelangsungan perniagaan.

Ia juga membelanjakan RM11.2 bilion untuk inisiatif membantu sektor komoditi dan pelancongan selain elaun petugas barisan hadapan dan insentif berkaitan Covid-19.

Tengku Zafrul awal minggu ini mengumumkan RM12.3 bilion daripada RM17.1 bilion diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Covid-19 diagihkan kepada hampir 10 juta penerima. – 16 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen