SERAMAI sembilan individu yang kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan Somalia terbunuh dalam letupan bom disyaki dilakukan oleh pengebom berani mati di ibu negara Mogadishu semalam.
Seorang pegawai Mohamed Ali berkata, serangan itu berlaku berhampiran pusat pemeriksaan yang sering dikunjungi pasukan keselamatan.
“Masih ada siasatan yang sedang dilakukan tetapi dengan semua petunjuk setakat ini, seorang pengebom berani mati disyaki dalang letupan berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa enam anggota pasukan keselamatan dan tiga orang awam terbunuh dan 11 yang lain cedera.
Pengeboman itu didakwa dikaitkan dengan kumpulan Al-Shabaab yang berjuang menjatuhkan kerajaan persekutuan Somalia sejak 2007 dan melakukan gelombang serangan.
“Saya sudah melalui kawasan itu beberapa minit selepas letupan, seluruh kawasan itu berselerakan dengan kasut milik mangsa,” kata saksi Kudow Yusuf.
Seorang saksi lain, Adan Hussein berkata dia melihat beberapa mayat yang beberapa di antaranya berpakaian seragam dibawa ke ambulans.
Bulan lepas, pelampau bertanggungjawab atas pengeboman bunuh diri di sebuah kafe di Mogadishu yang mengorbankan dua orang dan mencederakan lima mangsa.
Kumpulan jihad menguasai ibu negara sehingga 2011 apabila pasukan itu diusir oleh pasukan Kesatuan Afrika tetapi ia masih mengawal wilayah di kawasan luar bandar dan sering melakukan serangan terhadap sasaran kerajaan dan orang awam di Mogadishu dan tempat lain. – Bernama, 15 September, 2021.
Komen