IBU bapa dan pendidik mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan tahun akademik tahun ini ke Mac tahun depan.
Kebiasaannya tahun akademik akan berakhir pada penghujung tahun namun lanjutan yang dibuat memberikan masa kepada pelajar untuk menghabiskan silibus pelajaran yang terganggu berikutan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.
Pendidik terutamanya pengusaha tadika berkata, lanjutan itu membolehkan mereka memperkenalkan aktiviti berkumpulan kepada anak didik muda mereka.
Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng memberitahu The Malaysian Insight sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak memadai dan pelajar masih perlu menghadiri kelas bersemuka.
“Kini anak-anak boleh kembali ke sekolah dengan lanjutan itu dan guru boleh mengajar apa yang tidak diajar menerusi dalam talian sebelum ini.
“Guru-guru kini boleh menghabiskan silibus tanpa terburu-buru,” katanya.
Beliau berkata pembelajaran taska secara dalam talian hanya memfokuskan kepada membaca dan menulis, yang mengurangkan aktivirti berkumpulan.
“Namun kini guru boleh memasukkan apa yang tidak boleh diajar secara dalam talian dan mengajar selepas anak-anak kembali ke bilik darjah, kerana masih ada dua bulan untuk pembelajaran secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata lanjutan tahun akademik tidak akan memberei kesan kepada mana-mana pelajar kerana kementerian mengubah tahun kalendar secara keseluruhan dari tadika, sekolah rendah dan menengah.
“Paling tidak, ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi pelajar baru yang bersiap untuk memasuki tadika tahun depan. Mereka mesti menangguhkan kemasukan mereka sehingga Mac.
“Namun, jika tadika yang ibu bapa daftarkan anak-anak mereka besar dan mempunyai ruang yang cukup dan guru mematuhi prosedur operasi standard (SOP), saya percaya akan dapat menerima pelajar baru lebih awal,”
Pengerusi Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong) Ronnie Wong turut bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun katanya, lanjutan itu mungkin memberi kesan kepada pelajar yang berada di tingkatan lima tahun ini dan merancang untuk pergi ke luar negara bagi melanjutkan pelajaran tahun depan.
“Pelajar SPM yang akan lulus tidak lama lagi dan akan pergi ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran mungkin menghadapi masalah kelewatan mendaftar di universiti setelah tempoh persekolahan dilanjutkan, tetapi pelajar yang lain tidak terjejas,” kata Wong.
Beliau menyatakan bahawa sebagai ibu bapa, beliau percaya pada setiap keputusan kementerian namun pada masa yang sama berharap mereka dapat memastikan bahawa vaksinasi orang muda di bawah usia 17 tahun berjalan lancar.
“Sebenarnya, ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah. Lagipun, pelajaran bersemuka dalam kelas dan dalam talian adalah berbeza.
“Namun, kerana orang muda di bawah usia 17 tahun akan memulakan vaksinasi, adakah mereka sempat untuk kelas seterusnya? Ini adalah sesuatu yang harus difokuskan oleh kementerian,” katanya. – 15 September, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen