Rakyat perlu sembuhkan 'negara sakit' ini dalam PRU, kata Baru Bian


Desmond Davidson

Menyamakan virus Covid-19 dengan keadaan politik negara, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian mengingatkan rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar EPA, 14 September, 2021.

SEMUA tidak kena, kata ahli Parlimen Selangau Baru Bian, ketika negara bakal sambut Hari Malaysia pada 16 September ini. 

“Simptom negara sakit ada disekeliling kita,” kata bekas menteri kerja raya dalam kerajaan Pakatan Harapan itu dalam perutusan Hari Malaysia.

“Saya boleh katakan yang Malaysia sekarang ini macam saya dan semua pesakit Covid-19 yang terkesan dengan penyakit ini.

“Kita tidak sedar kita telah dijangkiti, kita cuma sedar yang kita tidak sihat bila gejala muncul di tubuh kita,” kata Baru, yang dikesan positif Covid-19 pada Jumaat ketika menjalani ujian RT-PCR wajib untuk membolehkannya hadir sidang Parlimen.

Oleh kerana kuarantinnya hanya akan berakhir pada 21 September, beliau terpaksa mengelak sidang Dewan Rakyat.

Sebelum ini Baru berkata beliau mengalami gejala seperti selesema dan demam ringan pada Jumaat yang sudah reda tidak sampai sehari.

“Dalam kes Malaysia, gejala negara yang sakit ada disekeliling kita. Tepat ketika kita sedang pulihkan penyakit ini dan bagaimana ia dibuat, boleh dibahaskan nanti. Tetapi tidak dapat dinafikan semuanya tidak bagus di Malaysia.

“Tanda-tanda ada di mana-mana.”

Katanya, rasuah dibenarkan dalam semua lapisan masyarakat dan kerajaan. Ramai pemimpin korup tidak didakwa tuduhan jenayah, tambahnya.

Beliau juga berkata ahli politik menggunakan isu kaum dan agama untuk kekalkan kedudukan dan kuasa, terutamanya ketika mereka dapati sokongan terhadap mereka mengendur.

“Ekstremisme dan sikap tidak toleransi agama meluas, malah ketuanan Melayu kerap digunakan terhadap golongan minoriti, beritahu mereka hanyalah pendatang.

“Pencari sewa, kronisme dan politik wang melimpah ruah, memperkaya orang yang tidak sepatutnya, sementara golongan yang kurang bernasib baik terus berjuang untuk terus hidup.”

Baru, yang memenangi parlimen atas tiket PKR tetapi kini menjadi anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB), berkata unsur perkauman yang diinstitusikan sudah kuat, tambahan dengan turunnya standard pendidikan dan kurangnya peluang ekonomi menyebabkan sebilangan besar rakyat berkata mereka mahu tinggalkan negara ini jika diberi peluang.

Di Sarawak dan Sabah, kebencian dan kemarahan atas kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) “telah mendorong rakyat kita menjadi lebih kuat, dengan banyak pihak minta pisah dari persekutuan,” tambahnya.

“Pembangunan pesat di Semenanjung dan kemiskinan di Sarawak dan Sabah sering dibandingkan. Seolah-olah sejak 1963, masa seperti berhenti.

“Rakyat kami yang berbilang etnik dan agama bimbang dan marah dengan usaha para ahli politik Semananjung untuk kendurkan kebebasan kami untuk pilih dan anuti agama kami.

“Betapa sedihnya sekarang negara ini sedang terjun dalam gaung untuk jadi negara gagal yang menyedihkan.”

Baru berkata, sebagai warganegara, mereka bertanggungjawab mengambil tindakan “agar negara kita dapat dipimpin ke landasan yang tepat.”

Katanya rakyat ada kuasa untuk ubah malah rakyat perlu diingatkan yang merekalah yang melantik pemimpin dalam kerajaan.

“Sama seperti pesakit Covid-19 yang ambil langkah kuatkan diri dengan mengambil ubat dan makanan tambahan, kita juga perlu ambil langkah untuk menangani banyak masalah dan penyakit yang melanda negara kita.”

Baru berkata rakyat tidak boleh membiarkan anak cucu mereka mewarisi kegagalan negara. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen