Selepas Anwar rayu, gantung ahli Parlimen Jelutong disingkatkan sehari


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Penggantungan dua hari Ahli Parlimen DAP Jelutong RSN Rayer dari menghadiri sidang Dewan Rakyat dipendekkan kepada sehari, selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon pertimbangan semula Timbalan Speaker petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

AHLI Parlimen (Jelutong-DAP) RSN Rayer diizinkan hadir sesi Dewan Rakyat esok selepas Timbalan Yang Dipertua Mohd Rashid Hasnon bersetuju tempoh gantungnya kepada sehari.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) memohon Rashid mempertimbangkan permintaannya menggantung Rayer.

“Saya nak sampaikan kepada pengerusi untuk menimbang semula keputusan menggantung dua hari Yang Berhormat Jelutong supaya dia boleh masuk ke dalam Dewan esok memandangkan istilah ‘memalukan’ itu dipertikai sama ada kasar atau tidak. 

“Jadi untuk kebijaksanaan pengerusi kalau boleh berilah izin dia masuk besok,” katanya.

Anwar berkata, selain Rayer, beberapa ahli parlimen turut menggunakan perkataan itu.

“Saya tidak mahu pertikai keputusan pengerusi, tetapi yang sebut ‘memalukan’ ini ada 40, 50 orang (ahli parlimen), jadi kalau nak gantung kena gantung 50 orang,” katanya.

Menjawab permohonan itu, Rashid berkata beliau menghormati Dewan dan beliau juga perlu dihormati dengan sewajarnya oleh ahli parlimen.

“Saya boleh mengambil budi bicara untuk saya putuskan untuk satu hari dan esok beliau boleh masuk, tapi ketua pembangkang boleh nasihatkan (Rayer) kurang-kurangkan provokasi, dengan izin supaya kita boleh selesaikan banyak perkara dengan baik dan sempurna,” kata Rashid.

Sementara itu, Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus-PAS) mencadangkan Rayer membuat permohonan maaf secara terbuka atas kata-katanya apabila Dewan Rakyat bersidang semula esok kerana ini bukan kali pertama beliau bertindak sedemikian.

Tambah Khairuddin, ini akan menjadi pengajaran kepada ahli parlimen lain.

Awal hari ini Rayer menggelar Rashid sebagai “memalukan”.

“Timbalan Speaker, jangan salah guna kuasa. Rakyat sedang lihat awak. Memalukan,” katanya.

Justeru, Rayer diarah keluar persidangan selepas enggan menarik balik perkataan itu walaupun selepas diberikan amaran tiga kali.

Rashid membuat keputusan itu selepas Dewan Rakyat hangat ekoran tindakannya menolak usul untuk menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Tindakan Rashid itu kemudiannya mencetuskan bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan tindakan ke atas Rayer.

Mereka kemudiannya melaungkan perkataan “memalukan” berselang-seli dengan tepukan meja sebagai bantahan terhadap keputusan ahli Parlimen Batu Pahat itu. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen