Ahli perniagaan didakwa terima deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah


SEORANG ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah daripada seorang pakar perunding kardiologi berjumlah RM999,500, tiga tahun lepas.

Tertuduh, T Harikumar, 43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Harikumar yang juga pemberi pinjam wang itu didakwa telah menerima wang deposit daripada Dr Peter Jebaseelan Jesudason, 59, tanpa memiliki lesen sah diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Abdullah, Bangsar, Brickfields, di Kuala Lumpur, antara 1 Ogos 2018 dan 26 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius serta kerugian besar yang dialami mangsa.

Peguam Datuk C Vignesh Kumar Chellapah yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.

Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – Bernama, 14 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen