Pelaksanaan MoU kerajaan-Pakatan akan diselia wakil kedua belah pihak


Ragananthini Vethasalam

Jawatankuasa Pemandu akan menyelia pelaksanaan perjanjian antara Kerajaan dan Pakatan Harapan akan mempunyai 10 orang wakil dengan bilangan yang sama rata, menurut dokumen persefahaman yang dikeluarkan hari ini. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 14 September, 2021.

JAWATANKUASA Pemandu seramai 10 orang akan menyelia pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli jawatankuasa yang terdiri daripada lima wakil PH dan lima wakil kerajaan akan dilantik oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Ahli Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai perunding, pemudah cara, dan perwakilan sah bagi kedua-dua pihak.

“Status Jawatankuasa Pemandu ini akan berkuatkuasa sepanjang tempoh MoU ini berkuatkuasa dengan terma dan rujukan yang diersetujui leh kedua-dua pihak,” kata dokumen itu yang kini boleh dilihat di laman web dan Facebook Parlimen.

Menurut dokumen itu, Jawatankuasa Pemandu perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu, atau mengikut jadual dipersetujui kedua-dua pihak.

MoU mengenai Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani oleh Ismail Sabri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau semalam.

Perjanjian itu merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19; transformasi pentadbiran; pembaharuan Parlimen; kebebasan institusi kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, kerajaan telah berjanji untuk melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan, sebelum sesi Parlimen berikutnya atau kelima.

Ia adalah rang undang-undang antilompat parti, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, selain meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada selama 10 tahun.

Pelbagai reformasi Parlimen termuat dalam perjanjian tersebut, paling utama, Rang Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen yang bertujuan untuk kembalikan kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen.

“Ia akan dibuat selepas diadakan perbincangan, libat urus dan persetujuan Yang Dipertua kedua-dua Dewan.

“Klausa ini hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Parlimen (2022),” kata MoU itu.

Pembaharuan Parlimen yang lain termasuk memastikan jumlah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang seimbang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan jumlah anggota terpilih dipengerusikan secara sama rata oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Status Ketua Pembangkang juga akan dipertingkatkan, dan pengerusi jawatankuasa terpilih akan diberikan kakitangan sokongan serta elaun supaya menjalankan tugas lebih efektif.

Bagi semua ahli parlimen pembangkang yang menandatangani MoU, mereka akan mendapat peruntukan yang sama bagi kawasan mereka, seperti mana ahli parlimen kerajaan.

Reformasi parlimen di atas akan dilaksanakan segera, kata MoU itu.

Titik penting lain dalam MoU adalah wakil yang seimbang dari ahli parlimen pembangkang dan kerajaan dalam Majlis Pemulihan Negara.

Wakil setiap blok akan membentuk 25% ahli, sementara pakar dari sektor kerajaan dan swasta akan membentuk 50% anggota majlis itu. β€“ 14 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen