Pelantikan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ditangguh


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Usul penggantungan pengundian timbalan speaker di Dewan Rakyat dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar. – Gambar AFP, 14 September, 2021.

PELANTIKAN timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat digantung bagi membolehkan kerajaan mengemukakan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah bilangan kerusi jawatan itu, daripada dua kepada tiga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Cadangan pindaan itu juga akan memasukkan peruntukan baharu mensyaratkan satu jawatan itu diisi oleh wakil rakyat pembangkang, katanya.

“Kita gantung jadual ditetapkan Parlimen kerana nak bawa pindaan Perlembagaan bagi meminda Perkara 57(1)(b) untuk tambah daripada dua kepada tiga timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Kita tetapkan walaupun Perlembagaan tak tetapkan siapa akan jadi timbalan speaker kerana landasannya dipilih ahli Dewan Rakyat.

“Kita akan buat peraturan salah satu timbalan speaker yang lulus akan dipegang, tak kisah siapa jadi kerajaan, salah seorangnya wakil pembangkang,” kata Wan Junaidi.

Beliau mengemukakan usul penggantungan pengundian timbalan speaker di Dewan Rakyat, apabila sidang bersambung petang ini.

Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentang untuk bacaan kali pertama selewat-lewatnya pada hujung sesi persidangan kali ini, yang dijadual berakhir 12 Oktober.

Jawatan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said letak jawatan pada 23 Ogos lepas.

Azalina letak jawatan dengan harapan membuka jalan untuk Parlimen mengatur semula kewibawaannya.

Blok kerajaan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dari Barisan Nasional sementara Pakatan Harapan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, yang pernah memegang jawatan sama.

Speaker Azhar Azizan Harun berkata proses pelantikan itu akan dijalankan selepas Belanjawan 2022, yang akan dibentang pada 29 Oktober. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen