Ahli Parlimen Jelutong digantung dua hari sidang Dewan Rakyat


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer diarah keluar persidangan selepas enggan menarik balik perkataan memalukan yang beliau tujukan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon walapun selepas diberikan amaran tiga kali. – 14 September, 2021.

AHLI Parlimen (Jelutong-DAP) RSN Rayer digantung dua hari daripada hadir persidangan Dewan Rakyat kerana ingkar arahan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon agar menarik balik perkataan “memalukan” yang beliau sebut.

Rayer diarah keluar persidangan selepas enggan menarik balik perkataan itu yang beliau tujukan kepada Rashid walapun selepas diberikan amaran tiga kali.

“Jelutong! (saya beri) amaran, tarik balik ayat memalukan… tarik balik ayat memalukan. 

“Jelutong, saya arahkan bentara jalankan tugas… keluarkan Jelutong… dua hari,” kata Rashid.

Rashid membuat keputusan itu selepas Dewan Rakyat hangat ekoran tindakannya menolak usul untuk menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Tindakan Rashid itu kemudiannya mencetuskan bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan tindakan ke atas Rayer.

Mereka kemudiannya melaungkan perkataan “memalukan” berselang-seli dengan tepukan meja sebagai bantahan terhadap keputusan ahli Parlimen Batu Pahat itu. 

Selepas sesi pertanyaan jawab lisan selesai, ahli Parlimen (DAP-Ipoh Barat) M Kulasegaran bangun meminta penjelasan Azhar berkaitan usul menggantikannya.

Azhar berkata beliau tidak terlibat berkaitan sebarang proses mengenai usul berkenaan kerana ia berkait dengan dirinya dan urusan itu diserah kepada Rashid.

“Boleh jadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan menolaknya,” kata Azhar.

Ahli Parlimen (Amanah-Pulai) Salahuddin Ayub pula bangun dan meminta supaya Rashid hadir ke dalam dewan untuk menjawab pertanyaan ahli parlimen.

Azhar, yang ketika itu baru sahaja masuk mempengerusikan mesyuarat menggantikan Rashid, kemudiannya mengarahkan kakitangan Dewan Rakyat memanggil timbalannya.

“Saya dalam konflik, saya tak boleh buat keputusan mengenai perkara itu. Saya dah kata awal-awal tak nak terlibat tentang diri saya,” kata Azhar.

Sebaik sahaja Rashid masuk ke dalam Dewan Rakyat dan menggantikan Azhar, beliau menjelaskan pejabatnya menerima 12 usul berkaitan isu tersebut.

Namun Rashid berkata, kesemuanya ditolak atas alasan teknikal.

“Saya menerima surat daripada Yang di-Pertua Dewan untuk kendalikan usul mengenai pengosongan kerusi… usul datang daripada parti Amanah, serentak, semua tak menepati undang-undang, dua daripada PKR pun sama juga. 

“Setiap yang beri usul saya jawab secara bertulis. Sila baca jawapan tersebut dan keputusan saya muktamad tapi rayuan boleh, sekiranya lulus boleh masuk ke aturan urusan mesyuarat,” kata Rashid.

Beliau kemudiannya mengarahkan setiausaha Dewan Rakyat melanjutkan ke urusan yang seterusnya namun dibantah ahli Parlimen.

Rashid bagaimanapun tegas dengan keputusannya dan menegaskan hanya bertanggungjawab memberikan jawapan kepada pengusul dan bukannya membentangkan di dalam Dewan.

“Apabila media tanya dengan saya, saya jawab kepada setiap pengusul, sila baca surat saya kepada pengusul tadi,” kata Rashid.

Disebabkan itu tercetus kekecohan sehingga membawa kepada penggantungan Rayer.

Apabila keadaan semakin bising, Rashid bertindak menangguhkan persidangan untuk berhenti rehat makan tengahari. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen