KKM tak pernah berhenti rawat pesakit bukan Covid-19, kata Khairy


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beberapa langkah dilakukan bagi memastikan pesakit bukan Covid-19 mendapat rawatan diperlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight,14 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan tidak pernah berhenti merawat atau mengurangkan perkhidmatannya untuk pesakit bukan Covid-19 terutama untuk kes kecemasan semasa wabak melanda, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, beberapa langkah dilakukan bagi memastikan pesakit bukan Covid-19 mendapat rawatan diperlukan.

Ini termasuk menggerakan petugas kesihatan dari hospital awam dan swasta ke kemudahan kesihatan yang tidak mempunyai perkhidmatan pakar, selepas waktu pejabat dan hujung minggu untuk bilik pembedahan serta klinik pakar di hospital tertentu, dan mengoptimumkan hospital bukan pakar dan hospital tentera untuk prosedur pembedahan tertentu.

“Pakar di Lembah Klang juga melakukan pembedahan di hospital swasta apabila empat hospital KKM diubah menjadi hospital penuh Covid-19,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Pada akhir Julai, kementerian juga menyerahkan 3,974 prosedur ke hospital swasta.

Kementerian juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan penubuhan hospital khas untuk pesakit bukan Covid-19 bagi menjalankan prosedur yang tertangguh, selepas perlindungan vaksinasi penuh melebih 60% dan jumlah kes serius Covid-19 menurun.

Selain itu, pihaknya juga ingin memperluas perkhidmatan klinik maya ke lebih banyak hospital dan klinik kesihatan.

Khairy menjawab pertanyaan tambahan daripada Kesavan Subramaniam (Sungai Siput-PH) mengenai bagaimana kementerian memastikan pesakit bukan Covid-19 mendapat rawatan mencukupi.

Sementara itu Khairy berkata kementerian juga menyasarkan untuk meningkatkan nisbah katil hospital bagi setiap penduduk 1,000 hingga 2.08 pada akhir penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sehingga akhir tahun lalu, nisbahnya adalah 2.01 untuk populasi 1,000 di mana jumlah katil meningkat kepada 65,508 daripada 55,952 pada 2016.

“Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Kesihatan akan melanjutkan inisiatif untuk meningkatkan jumlah katil dengan membangunan hospital baharu dan meningkatkan kemudahan yang ada.

“Perhatian akan diberikan kepada hospital dengan jumlah penghunian katil yang tinggi,” katanya.

Faktor lain yang perlu diambil kira termasuk kepadatan penduduk, akses ke kemudahan kesihatan yang ada dan pembiayaan.

Khairy berkata, ini sebagai tindak balas terhadap pertanyaan Kesavan mengenai sasaran kerajaan untuk meningkatkan kapasiti katil. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen