9 daripada 100 penduduk Sabah, Labuan menganggur, kata menteri


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Sabah dan Labuan antara negeri yang catat rekod pengangguran tertinggi berbanding negeri lain pada suku kedua 2021, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

SABAH dan Labuan, dengan kadar pengangguran lebih 8%, adalah antara negeri yang mencatatkan rekod pengangguran tertinggi berbanding negeri lain pada suku kedua 2021, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Berdasarkan data terkini kaji selidik tenaga buruh Jabatan Perangkaan Malaysia, sembilan daripada 100 penduduk di negeri itu adalah penganggur, katanya.

“Melihat kedudukan peringkat negeri, pada suku kedua 2021, Labuan dan Sabah mencatatkan kadar pengangguran lebih 8% iaitu masing masing 8.8% dan 8.7%,” kata Saravanan.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun begitu, Saravanan berkata jumlah pengangguran secara keseluruhan di seluruh negara mengalami penurunan.

Kadar pengangguran pada suku kedua 2021 turun 0.3% daripada 5.1% kepada 4.8% pada suku kedua 2020, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh itu juga Perlis mencatatkan jumlah kadar pengangguran sebanyak 5.3%, manakala enam negeri menunjukkan kadar pengangguran lebih 4%.

Antara negeri terbabit adalah Kelantan (4.8%), Kuala Lumpur (4.7%), Perak, Selangor, dan Sarawak masing-masing 4.4% dan Terengganu 4.2%.

Enam negeri lagi iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan merekodkan kadar pengangguran antara 3.5% hingga 3.9%.

Putrajaya pula merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu sekitar 1.7%.

“Tujuh negeri yang mencatat kadar pengangguran di bawah 4% menggambarkan ekonomi negeri berkenaan beroperasi dengan guna tenaga buruh,” kata Saravanan. – 14 September, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen