Putera Andrew cabar bidang kuasa AS dalam saman seks


Putera Andrew menerusi peguamnya mencabar bidang kuasa mahkamah AS dalam saman sivil terhadapnya difailkan seorang wanita yang mendakwa didera secara seksual ketika remaja. – Gambar EPA, 14 September, 2021.

PUTERA Andrew akan mencabar bidang kuasa mahkamah Amerika Syarikat (AS) dalam saman sivil terhadapnya difailkan seorang wanita yang mendakwa beliau menderanya secara seksual ketika remaja.

Peguam berkata Andrew tidak diserahkan saman berkenaan walaupun pasukan peguam wanita mendakwa sebaliknya.

Saman yang difailkan di New York menyatakan peguam Andrew Brettler akan mewakili Andrew, iaitu putera kedua Ratu Elizabeth II, bagi mencabar proses penyerahan dokumen dan bidang kuasa.

Plaintif, Virginia Giuffre mendakwa dia “dipinjamkan” bagi tujuan seks di bawah umur oleh pengurus dana AS, Jeffrey Epstein yang membunuh diri di penjara New York pada 2019 sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks di bawah umur.

Giuffre menyaman Andrew bulan lalu, mendakwa mencabulnya secara seksual di kediaman sosialit Ghislaine Maxwell di London 20 tahun lalu, ketika Giuffre berusia bawah 18 tahun.

Giuffre juga mendakwa Andrew menyalahgunakannya di kediaman Epstein di New York dan di Little St James, iaitu pulau peribadi Epstein di Kepulauan Virgin AS. – AFP, 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen