Ahli Parlimen dihalang masuk Parlimen untuk kekang Covid-19, kata Hamzah


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Ahli-ahli Parlimen dilarang masuk ke Parlimen pada 2 Ogos lalu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

AHLI-ahli Parlimen dihalang masuk ke Parlimen pada 2 Ogos lepas untuk membendung penularan wabak Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

“Kerajaan hendak menjaga ahli-ahli Yang Berhormat supaya mereka dapat hadir pada hari ini. Sebab ketika itu sudah menjadi satu perkara yang telah diketahui ramai bahawa virus merebak begitu ketara sekali di Parlimen,

“Apabila dimaklumkan kepada pihak polis, kalau boleh jangan ada orang masuk untuk kita pastikan dapat lakukan sebaik mungkin untuk sanitasi dalam Dewan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata tindakan polis adalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang melarang perhimpunan berskala besar.

Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988  katanya memberi kuasa kepada polis menguatkuasakan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya difahamkan ketika itu sudah mencecah menghampiri 100 mereka yang positif (Covid-19) dalam Dewan ini, maka sebab itu kita tak benarkan bukan hanya pembangkang (tetapi) ahli-ahli Parlimen kerajaan juga tidak dibenarkan masuk.

“Cuma ahli-ahli Parlimen kerajaan taklah buat demonstrasi kerana tak boleh masuk. Yang buat demonstrasi ni sebelah pembangkang, nak masuk juga, kemudian ade gathering yang mereka lakukan,” kata ahli Parlimen Larut. 

Atas sebab itu jugalah kompaun dikenakan kepada ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

“...kompaun yang telahpun diberikan oleh polis kepada ahli-ahli Parlimen ketika itu telah dipersetujui dalam perbincangan saya dengan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) untuk kita turunkan kompaun.

“Kompaun masih lagi kena kerana tidak ada dua darjat antara ahli Parlimen dan rakyat, jadi sebab itu kita terpaksa, saya minta maaf (kenakan kompaun) kerana gathering yang melanggar SOP ketika itu,” kata Hamzah.

Kompaun RM3,000 yang dikenakan kepada ahli Parlimen pembangkang diturunkan menjadi RM1,000 sahaja, tambahnya.

Hamzah berkata demikian bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya mengapa ahli Parlimen dilarang masuk ke Parlimen pada 2 Ogos lalu. Rayer juga bertanya dan siapakah yang mengeluarkan arahan kepada polis untuk menghalang ahli Parlimen. – 14 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen