Harapan kepada sidang Parlimen


SIDANG Parlimen bermula hari ini dan ramai antara kita yang sedang menunggu untuk isu yang penting dibangkitkan di Parlimen.

Penambahbaikan yang saya harapkan untuk sektor kesihatan adalah supaya vaksinasi dipercepatkan untuk anak muda berumur antara 12-17 tahun.

Ini kerana sesi persekolahan akan bermula pada bulan depan dan vaksinasi untuk pelajar terutamanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan SPTM perlu diberikan keutamaan.

SOP pengudaraan atau ventilation perlu diperincikan dan kempen kesedaran tentang SOP ini perlu dijalankan supaya semua pihak memahami dan boleh mengambil langkah wajar untuk melindungi diri dan keluarga.

Strategi untuk menangani kes kematian Covid-19 BID (brought in dead) perlu dibentangkan. Contohnya, pemberian subsidi harga oksimeter nadi perlu dipertimbangkan supaya setiap keluarga mampu memiliki sekurang-kurangnya satu oksimeter nadi.

Penggunaan oksimeter di rumah untuk memantau paras saturasi oksigen sangat penting terutamanya kerana 83.1% daripada pesakit yang positif (197,233 individu) sedang menjalani kuarantin di rumah.

Meskipun kita semua berharap kes Covid-19 akan menurun dalam masa terdekat, kita masih perlu bersedia sekiranya kita perlu berdepan dengan peningkatan lagi kes-kes positif Covid-19. Better to be safe than sorry.

Misalnya, perancangan meningkatkan kapasiti katil di hospital, menubuhkan “makeshift hospital” atau hospital sementara, menyediakan bekalan tangki oksigen dan ventilator yang mencukupi dan sebagainya.

Pemberian self-test kit percuma untuk golongan B40 perlu dimuktamadkan segera kerana benar-benar diperlukan untuk meneruskan usaha mengesan lebih ramai lagi individu yang dijangkiti wabak Covid-19 dan mengekang penularan dalam komuniti.

Pandemik ini jelas membuktikan negara kita benar-benar memerlukan doktor untuk menampung keperluan sektor kesihatan. Meskipun begitu, isu doktor kontrak masih belum diselesaikan dan hanya mencapai solusi sementara waktu saja.

Mereka wajar ditawarkan kontrak tetap serta peluang menyambung pelajaran. Peruntukan khas perlu diberikan dalam belanjawan yang akan datang untuk menangani isu doktor kontrak.

Kajian imuniti juga perlu dijalankan untuk meneliti tahap imuniti frontliners setelah divaksin terutamanya bagi petugas-petugas kesihatan dan mungkin pemberian dos penggalak perlu dipertimbangkan.

Tanggungjawab kita untuk melindungi frontliners sementara mereka menjalankan tugas. – 14 September, 2021.

* Dr Mathen Nair ialah pengasas bersama Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen