SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa masyarakat antarabangsa untuk berinteraksi dengan Taliban dan memberikan talian hayat yang sangat diperlukan kepada rakyat Afghanistan.
Gesaan itu dibuat ketika penerbangan komersial asing pertama meninggalkan Kabul, memberikan harapan kepada mereka yang berusaha untuk keluar dari negara itu.
Guterres berada di Geneva selaku tuan rumah persidangan penderma bagi mengumpul ratusan juta dolar untuk negara dilanda keganasan perang yang diambil alih oleh Taliban hampir sebulan lalu dalam serangan kilat, mengejutkan Amerika Syarikat (AS) yang sedang mengundurkan tenteranya.
Gutterea berkata beliau percaya bantuan dapat digunakan bagi meningkatkan pengaruh untuk memperbaiki hak asasi manusia, di tengah kebimbangan negara itu akan kembali kepada peraturan kejam rejim Taliban dari 1996 hingga 2001.
“Tidak mungkin kita dapat memberikan bantuan kemanusiaan di Afghanistan tanpa terbabit dengan pihak berkuasa ‘de facto’,” kata Guterres kepada menteri yang menghadiri persidangan itu.
“Sangat penting untuk berhubung dengan Taliban pada masa ini,” katanya.
Guterres menggesa negara mencari jalan bagi membolehkan suntikan wang tunai ke dalam ekonomi Afghanistan bagi mencegah keruntuhan secara langsung yang akan membawa akibat buruk kepada Afghanistan dan wilayah lain.
“Saya tidak rasa jika pihak berkuasa de facto sebuah negara bersikap tidak baik, jalan keluarnya adalah dengan melakukan hukuman kolektif kepada rakyatnya,” katanya.
Persidangan bertujuan mengumpulkan lebih AS$600 juta (RM2.5 bilion) berjaya mengumpulkan AS$1.1 bilion (RM4.59 bilion) dalam bentuk janji untuk menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada Afghanistan dan negara jirannya.
Bagaimanapun Guterres masih belum menyatakan dengan jelas berapa banyak yang akan disalurkan ke negara itu, yang dilancarkan di tengah-tengah kebimbangan kekurangan zat makanan dan kebuluran, dengan perpindahan besar-besaran serta kedatangan musim sejuk. – AFP, 14 September, 2021.
Komen