Garis panduan diperlukan untuk tangani pekerja tidak divaksin, kata majikan


Khoo Gek San

Sebilangan pekerja di syarikat swasta menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dan ini mungkin akan mendatangkan masalah antara pekerja lain di kemudian hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

SEBILANGAN kecil pekerja di syarikat swasta menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tetapi pihak berkepentingan industri memberi amaran akan berlaku perselisihan antara pekerja tanpa adanya garis panduan mengenai perkara berkenaan.

Majikan berkata, setakat ini tidak ada pekerja yang dipecat kerana enggan menerima vaksin tetapi mereka dilarang untuk kembali bekerja bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja lain.

Mereka meramalkan akan adanya perselisihan timbul antara majikan dan pekerja berkenaan isu berkenaan dan mendesak agar ada garis panduan daripada kerajaan bagi menangani kes yang tidak divaksin kerana vaksinasi tidak diwajibkan. 

Tanpa memberikan angka tertentu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman berkata jumlah pekerja di syarikat swasta yang enggan menerima vaksin berjumlah kira-kira 3%. 

“Tanggungjawab kolektif pekerja adalah mendapatkan vaksin untuk melindungi rakan sekerja, keluarga dan masyarakat,” kata Syed Husaain kepada The Malaysian Insight. 

Beliau menambah bahawa majikan lebih suka menggalakkan pekerja mereka mengambil vaksin dengan melakukan kempen promosi syarikat termasuk membenarkan pakar kesihatan menjawab pertanyaan dan keraguan pekerja secara peribadi. 

Ini dilakukan bagi memastikan pekerja tidak diberi vaksin dalam keadaan terpaksa, katanya. 

“Sekiranya tidak ada undang-undang yang mewajibkan vaksin, pengusaha perlu mempertimbangkan polisi yang lebih selamat dalam mempromosikan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan bukannya menjadikannya ia wajib. 

“Memecat pekerja yang menolak vaksin harus dielakkan kerana negara tidak mewajibkan penduduk menerima vaksin,” kata Syed Hussain.

Seiring dengan itu, beliau memberi jaminan bahawa majikan menyokong sepenuhnya rancangan vaksinasi kebangsaan dan membantu menjayakan kempen berkenaan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, pekerja yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 oleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (DOSH) kerana menyebabkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja. 

Memberi maklum balas hal berkenaan, MEF berkata majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja mereka mengikut Seksyen 15 dan 17 Akta berkenaan.

Pekerja juga wajib memastikan keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta rakan sekerja mereka di bawah Seksyen 24 Akta DOSH, kata Syed Hussain. 

“Berdasarkan Akta DOSH, ia munasabah bagi majikan untuk meminta pekerja divaksin. 

“Pekerja yang enggan diberi vaksin tanpa alasan munasabah boleh dilarang memasuki tempat kerja sehingga mereka diberi vaksin atau kerajaan menyatakan bahawa Malaysia bebas dari Covid-19,” katanya. 

Beliau berpendapat bahawa vaksinasi adalah satu-satunya cara yang membolehkan penduduk mendapatkan kekebalan dan melindungi dari jangkitan Covid-19. 

“Bahkan mereka yang diberi vaksin sepenuhnya berisiko dijangkiti, tetapi keadaan mereka kurang serius berbanding mereka yang belum menerima vaksin,” katanya. 

Syed Hussain juga menyarankan agar kerajaan membuat garis panduan untuk majikan dan pekerja mengurangkan pertikaian pekerja yang akan timbul dari situasi berkenaan. 

“Garis panduan tersebut akan mengurangkan pertikaian antara majikan dan pekerja atau kesatuan pekerja mengenai perkara berkaitan vaksinasi pekerja. 

“Sudah ada keadaan di mana pekerja mengaku diberhentikan secara konstruktif kerana majikan melarang pekerja yang tidak divaksin memasuki tempat kerja. Perkara itu masih belum dapat diselesaikan,” katanya. – 14 September, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen