Dulu J-kom, sekarang JKK namun bukan alat propaganda, kata ketua pengarah


Mohd Farhan Darwis

Jabatan Komunikasi Komuniti berfungsi untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada masyarakat berkaitan dasar kerajaan.– Gambarfail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

JABATAN Komunikasi Komuniti (JKK), atau sebelum ini dikenali J-kom, bukan alat propaganda kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata ketua pengarahnya Junaidi Abu Bakar.

Bekas Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan kepada The Malaysian Insight pelantikannya menerajui agensi itu sejak 21 Julai lepas.

Beliau juga memberitahu jabatan itu kini dikenali nama singkatan JKK dan bukan lagi J-kom seperti semasa ia mula disebut dalam Belanjawan 2021.

“Kami bukan propaganda, sewaktu saya masuk pun kakitangan cuma ada empat orang, ada orang kata kakitangan kami ada di seluruh Malaysia, tidak ada lagi,” kata Junaidi, kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, JKK berfungsi untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada masyarakat berkaitan dasar kerajaan.

“Tugas utama kami adalah pengupayaan komuniti, latihan dan pendidikan, bukan propaganda macam Jasa dulu. Tidak ada seorang pun kakitangan Jasa dalam jabatan ini.

“Kami berikan kursus, penerangan, dan bengkel kepada komuniti… ajar cara penggunaan internet, sidang siaran langsung atau sebagainya,” katanya.

JKK dibentuk oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin dan pertama kali disebut sebagai J-kom dalam Belanjawan 2021, yang dijenamakan semula daripada Jasa yang dimansuh oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelumnya.

Penubuhan semula jabatan itu mencetuskan kontroversi kerana peruntukan untuknya dicadangkan RM85 juta, tetapi kemudian diluluskan dengan potongan menjadi RM40.5 juta.

Belum operasi, belum ada aktiviti

Jabatan itu bagaimanapun belum beroperasi sepenuhnya disebabkan pertukaran kerajaan silih berganti sejak kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

“Setiap kali Kabinet bubar akan buat pewartaan balik jabatan diletakkan bawah kementerian mana. Setiap kementerian ada agensi mereka dan perlukan pengesahan Kabinet.

“Kita belum lagi disahkan (di bawah kementerian mana),” katanya.

Junaidi berkata, jabatan berkenaan sebelum ini diletakkan bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) namun ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak sebulan lalu.

“Baru nak atur program, saya pun baru pindah ke JPM baru sebulan, belum ada aktiviti.

Antara aktiviti yang dijalankan jabatan itu setakat ini katanya adalah penerangan kepada masyarakat berkaitan konsep Keluarga Malaysia, yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pihaknya juga sedang memberi penerangan umum berkenaan wabak Covid-19 yang akan masuk ke fasa endemik.

“Perdana menteri keluarkan konsep Keluarga Malaysia jadi kita beri penerangan tentang itu, kita beritahu komuniti apa hasrat perdana menteri.

“Orang kata kita berperang sebagai tentera siber mana ada, tidak ada…dekat kad nama saya tidak ada tulis J-Kom pun.

“Sekarang kita jelaskan kepada komuniti dasar kerajaan, buat video penerangan, maklumat macam itulah.

“Dasar yang kerajaan keluarkan kita permudahkan, buat sedikit-sedikit, tapi tak menyeluruh lagi, sebab pasukan JPM pun ada jabatan penerangan mereka,” kata Junaidi.

Sebelum Pilihan Raya Umum 2013, nama Junaidi disebut-sebut sebagai antara calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Krai.

BN bagaimanapun meletakkan Tuan Aziz Tuan Hamat sebagai calon dan tewas kepada calon PAS waktu itu Mohd Hatta Ramli.

Pada November 2017, Junaidi dilantik sebagai pegawai khas penyelidikan kepada ketua penerangan Umno Malaysia, ketika itu Annuar Musa, yang juga ahli Parlimen Ketereh.

“Saya bukan orang politik”

Junaidi turut menjelaskan fungsi dan tugas jabatan itu tiada kaitan dengan politik, dan beliau seorang ahli akademik.

“Saya bukan orang politik, saya ahli akademik, untuk unit propaganda selalunya ambil orang politik,” katanya.

Beliau menekankan tugas dan peranan jabatan itu “lebih kepada pendidikan dan latihan, bukan propaganda.”

“Buat masa ini pun belum tahu arahan kerja macam mana, mungkin tahun hadapan baru jelas halatuju… nak tukar nama ke, apa ke,  macam mana, sebab kementerian lain dah ada penerangan masing masing.

“Tetapi untuk masa hadapan (JKK) saya tak tahu lagi,” tambahnya.

Semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada November tahun lepas, Saifuddin Abdullah selaku menteri komunikasi dan multimedia pada masa itu mengumumkan penjenamaan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-kom.

Matlamat J-kom katanya untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi menyampaikan maklumat tepat, sahih dan bijaksana, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Saifuddin juga berkata fungsi J-kom tidak sama dengan Jabatan Penerangan kerana ia lebih untuk melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

J-kom juga tidak bertindan tugas dengan agensi lain bawah KKMM seperti agensi berita rasmi Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen