Kerajaan rayu batal hak kerakyatan automatik anak wanita tempatan


Ragananthini Vethasalam

Pada 6 Disember lalu, enam wanita Malaysia dan serta Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) mencabar amalan yang hanya membenarkan lelaki Malaysia secara automatik memberikan status warganegara kepada bayi mereka yang dilahirkan di luar negara. – Gambar AFP, 13 September, 2021.

PUTRAJAYA telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan status warganegara kepada bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia dengan rakyat asing, kata peguam Gurdial Singh Nijar.

Rayuan untuk membatalkan penghakiman itu dikemukakan di Mahkamah Rayuan hari ini.

“Ya. Notis rayuan bertarikh hari ini dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak tiga defendan,” kata Gurdial kepada The Malaysian Insight.

Pada 6 Disember lalu, enam wanita Malaysia dan serta Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) mencabar amalan yang hanya membenarkan lelaki Malaysia secara automatik memberikan status warganegara kepada bayi mereka yang dilahirkan di luar negara.

Gurdial mewakili kumpulan itu sementara Pejabat Peguam Negara bertindak sebagai defendan bagi pihak kerajaan.

Pada 9 September, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Penghakiman itu dibuat berdasarkan ketetapan Perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan yang harus dibaca bersama dengan peruntukan yang menentang pembezaan jantina.

Atas dasar ini, Akhtar memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu, malah bayi mereka berhak mendapat status kerakyatan melalui proses perundangan.

Melalui prosiding dalam talian itu, Akhtar berkata mahkamah diberi kuasa untuk mentafsir undang-undang bagi menegakkan semangat Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan memastikan keadilan.

Sementara itu, kumpulan masyarakat sivil yang terdiri daripada 116 organisasi dan 52 individu menggesa kerajaan untuk tidak membuat rayuan permbatalan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemberian status kerakyatan secara automatik. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen