Pergolakan politik, jurang pendapatan jejas golongan miskin dalam pandemik, kata dekan


Alfian Z.M. Tahir

Kumpulan berpendapatan rendah lebih terkesan dengan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

JURANG pendapatan yang besar ditambah dengan ketidaktentuan politik menyebabkan kumpulan berpendapatan rendah lebih terkesan dengan pandemik Covid-19, kata Prof Dr Adeeba Kamaruzaman.

Menurutnya kumpulan paling rentan yang terjejas teruk akibat wabak itu adalah dari golongan masyarakat yang miskin dan terpinggir.

“Sangat jelas bahawa mereka yang berada di strata sosio-ekonomi yang lebih rendah lebih banyak terjejas - pekerja migran, mereka yang tinggal di flat PPR berpenduduk tinggi, pelarian dan miskin bandar misalnya,” kata dekan Fakulti Perubatan di Universiti Malaya di webinar anjuran Sunway University.

Beliau juga berkata situasi pandemik di negara ini ditambah dengan pergolakan politik yang mengakibatkan kepercayaan terhadap kerajaan terhakis teruk.

Memetik kajian, beliau mengatakan wabak itu menyerang dengan ganas di negara yang penuh dengan perpecahan politik dan konflik sosial.

“Kita kini berada pada kesimpulan bahawa ciri-ciri yang lebih menonjol yang membezakan keparahan pandemik adalah faktor seperti persamaan ekonomi dan kepercayaan sosial.”

Beliau berkata sebagai contoh, dari segi jumlah kematian yang berlebihan di seluruh negara semasa pandemik, negara-negara yang paling teruk terjejas termasuk Peru, Bolivia, Afrika Selatan dan Brazil yang semuanya merupakan negara berpendapatan sederhana terjebak dalam pergolakan politik dengan institusi sosial yang lemah.

“Kajian juga menunjukkan bahawa polarisasi politik, modal sosial, kepercayaan pada kerajaan dan jurang pendapatan adalah langkah kepada respon pandemik yang berjaya,” katanya kepada forum itu.

Malaysia berdepan pergolakan politik sejak dua tahun lalu selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dan diganti dengan Perikatan Nasional menerusi Langkah Sheraton.

Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan Umno dan PAS serta kumpulan Azmin Ali yang merupakan pecahan dari PKR bagi membentuk kerajaan baharu.

PN bagaimanapun tidak bertahan lama kerana Muhyiddin dijatuhkan selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

Selain itu, pentadbiran PN juga gagal mengawal menterinya daripada melanggar peraturan Covid-19 yang tersebar di media sosial menjalani aktiviti yang dilarang.– 13 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen