Pembelian banglo RM5.9 juta oleh Zahid untuk tujuan amal, kata peguam 


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 melibatkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

PEMBELIAN dua buah banglo bernilai RM5.9 juta oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Country Heights, Kajang dibuat menggunakan dana yang didermakan, dan banglo berkenaan digunakan bagi tujuan amal, kata peguamnya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berkata pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan jumlah itu diperoleh menerusi aktiviti haram.

Oleh itu tiada kes prima facie bagi pertuduhan rasuah ke-26 terhadap Zahid kerana menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk kegunaan peribadi, Teh berhujah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dalam pertuduhan ke-26, bekas timbalan perdana menteri itu dituduh atas pengubahan wang haram dengan memberi arahan untuk pembelian dua unit banglo berharga RM5.9 juta menggunakan cek milik Messrs Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Peguam bela berkata Zahid memang memberi arahan untuk pembelian itu, namun ia untuk tujuan derma kepada Yayasan Al-Falah, yang merupakan sebuah lagi yayasan amal milik adik lelaki Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Teh menggunakan bukti saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff yang mengesahkan pada perbicaraan sebelum ini bahawa banglo berkenaan adalah derma daripada Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al-Falah, kerana dua yayasan amal berkenaan mempunyai objektif yang sama.

“Salah satu lot berkenaan telah diubah kepada surau, lengkap dengan tempat sembahyang dan bilik mesyuarat. Bukti Faisalludin turut mengesahkannya,” hujah peguam berkenaan.

Zahid adalah satu-satunya penandatangan, pemilik dan pengasas Yayasan Akalbudi. Beliau menubuhkan yayasan itu pada tahun 1990-an sebagai sebuah syarikat berhad untuk menjalankan kerja amal.

Teh berkata sejumlah RM5.9 juta diambil dari akaun amanah Lewis & Co untuk membayar penjual Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, kata Teh.

Wang dalam akaun amanah itu berasal dari deposit tetap sebanyak RM2 juta dalam cek kepada Mubarak Hussain Akhtar Husin (saksi pendakwaan ke-62), pemilik Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd.

Mubarak juga menyatakan dalam keterangan saksinya bahawa cek yang diterima oleh Lewis & Co adalah sumbangannya untuk sebuah sekolah tahfiz atau sekolah agama Islam, kata Teh kepada mahkamah.

Deposit tetap kedua berjumlah RM5 juta ke dalam akaun amanah adalah daripada tujuh cek dari Mastoro Kenny IT Consultant & Services.

Cek ini diberikan oleh saksi pendakwaan ke-36 Junaith Asharab Md Shariff, seorang pemborong tekstil melalui Berani & Jujur Trading, yang mengatakan dalam keterangan saksinya sebelum ini bahawa beliau memberikan cek itu kepada Zahid pada akhir tahun 2016 untuk membina sekolah masjid dan tahfiz di kawasan Zahid di Bagan Datuk, tambah Teh.

Dalam prosiding sebelumnya, mahkamah mendengar dari pengasas Mastoro Kenny, M. Kumaraguru M. Muthusamy (saksi pendakwaan ke-35) bahawa Junaith telah meminta izinnya untuk menggunakan akaun bank syarikat itu.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan – 12 melibatkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Perbicaraan bersambung 9.30 pagi esok. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen