PERBICARAAN kes rasuah bekas perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu disambung semula pada Isnin selepas tertangguh hampir tiga bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sesi itu adalah yang pertama diadakan sejak Netanyahu menjadi pemimpin pembangkang, dan kelima sejak penasihat undang-undang kerajaan, Avichai Mandelblit, mengemukakan indikmen terhadapnya pada Januari 2020, termasuk tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.
“Perbicaraan Benjamin Netanyahu disambung semula pada Isnin di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis, tanpa kehadirannya,” lapor saluran 13 Israel.
Mahkamah akan mendengar keterangan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO ) laman web berita Walla Israel, Ilan Yeshua.
Menurut akhbar The Times of Israel, Yeshua adalah saksi utama membabitkan kes Netanyahu yang didakwa menyalahgunakan kuasa ketika menjadi perdana menteri dan menteri komunikasi dari 2014 hingga 2017. – Bernama, 13 September, 2021.
Komen