PAKISTAN International Airlines (PIA) mendarat di Kabul hari ini, menjadi syarikat penerbangan komersial antarabangsa pertama menyambung semula operasi selepas Taliban menguasai Afghanistan bulan lalu.
“Cuma lebih kurang 10 orang dalam pesawat… mungkin lebih ramai kakitangan berbanding penumpang,” kata seorang wartawan AFP yang menaiki pesawat dari dari Islamabad itu.
Jurucakap PIA hujung minggu lalu berkata syarikat penerbangan itu berhasrat untuk menyambung semula operasi penerbangan dari Islamabad ke Kabul.
Lapangan terbang di Kabul musnah ketika operasi pemindahan membabitkan seramai 120,000 orang susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada 30 Ogos lalu.
Taliban kini sedang berusaha memulihkan semula operasi lapangan terbang dengan bantuan pakar dari Qatar dan negara lain.
Qatar Airways mengendalikan beberapa penerbangan yang disewa khas berlepas dari lapangan terbang Kabul bagi membawa keluar kebanyakan warga asing dan Afghanistan yang terlepas semasa pemindahan operasi pemindahan.
Sebuah syarikat penerbangan Afghanistan menyambung operasi penerbangan domestik pada 3 September lalu. – AFP, 13 September, 2021.
Komen