China arah rombak Alipay, kata Financial Times


Penguasaan Alipay dalam e-dagang termasuk pinjaman mikro kredit dan kekuatan data pelanggan telah menyebabkan kerajaan komunis China campur tangan bagi kekang pertumbuhan raksasa syarikat teknologi terbesar itu. – Gambar EPA, 13 September, 2021.

PIHAK berkuasa China telah mengarahkan rombakan pada aplikasi pembayaran terbesar negara itu, Alipay, ketika Parti Komunis yang berkuasa mengekang pertumbuhan raksasa syarikat teknologi itu.

Alipay - dengan lebih satu bilion pengguna di China dan Asia termasuk India - didakwa telah memesongkan keuntungan pinjaman mikronya, lapor Financial Times pada Isnin, memetik sumber yang fasih dengan hal tersebut.

Ketika ini aplikasi itu membenarkan pengguna membayar dengan kad kredit tradisional yang dihubungkan ke bank mereka atau menawarkan pinjaman tanpa jaminan kecil untuk membeli apa sahaja dari kertas tandas ke komputer riba.

“Pemerintah percaya kekuatan monopoli syarikat teknologi itu kerana dari penguasaan data mereka,” kata sumber yang dekat dengan pengawal selia kewangan kepada akhbar itu. “Ia mahu tamatkannya.”

Syarikat induk Alipay, Ant Group merupakan penyedia perkhidmatan pembayaran terbesar di China.

Pengawal selia mengganggu pelancaran pasaran saham konglomerat fintech bernilai AS$37 bilion pada November, setelah pengasasnya Jack Ma mengkritik para pegawai pemerintah kerana mengekang inovasi.

Empayar perniagaan Ma menjadi sasaran dalam tindakan keras terhadap syarikat teknologi yang bertujuan memecah monopoli dan memperkuat keselamatan data, selain menghapuskan penilaian syarikat yang bernilai berbilion-bilion dolar.

Sejak itu tindakan keras itu, Ma telah “hilang” dari perhatian.

Selepas memisahkan perniagaan pembayaran dan pinjamannya, Alipay perlu menyerahkan data pelanggan yang digunakan untuk membuat keputusan pinjaman kepada usaha sama kredit baharu yang sebahagiannya dimiliki pemerintah komunis China, kata sumber kepada Financial Times.

Bagaimanapun Alipay belum menjawab pertanyaan AFP mengenai bagaimana pesanan itu akan mempengaruhi perniagaannya.

Pengawal selia juga meminta platform e-dagang Ma, Alibaba dan firma internet lain untuk berhenti menyekat pautan ke perkhidmatan saingan, kata jurucakap Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat Zhao Zhiguo pada Isnin. – AFP, 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen