RATUSAN rakyat Brazil menyertai tunjuk perasaan menuntut Presiden Jair Bolsonaro meletak jawatan.
Demonstrasi anjuran kumpulan konservatif itu diadakan beberapa hari selepas satu gerakan besar-besaran diadakan bagi menyokong pemimpin berhaluan kanan itu.
Protes jalanan yang berlangsung di beberapa bandar termasuk Rio de Janeiro, Sao Paulo dan Belo Horizonte itu dianjurkan pertubuhan Movimento Brasil Livre (Gerakan Pembebasan Brazil atau MBL).
Kumpulan sama terbabit dalam gerakan mendesak pemecatan bekas presiden Brazil berhaluan kiri, Dilma Rousseff pada 2016.
MBL kini menyokong pilihan ketiga dalam pilihan raya presiden Brazil 2022, dengan slogan “Tidak mahu Bolsonaro atau Lula”, merujuk pada musuh politik utama Bolsonaro, Luiz Inacio Lula da Silva.
Penganjur menjangkakan kehadiran ramai, namun tanpa pembabitan Parti Buruh pimpinan Lula da Silva, jumlah penunjuk perasaan jauh lebih kecil.
Di Rio, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di pantai Copacabana, kebanyakannya memakai baju putih, bagi menunjukkan pendirian neutral dalam politik.
Namun, mereka mengibarkan bendera Brazil yang biasanya dikaitkan dengan kumpulan haluan kanan atau bendera pelangi LGBT selain baju tertera “Lula 2022”.
Bagaimanapun, satu mesej jelas dibawa semua penunjuk perasaan, iaitu “Singkir Bolsonaro”.
Ratusan penunjuk perasaan berpakaian putih turut berhimpun di Sao Paulo yang juga pusat ekonomi Brazil, namun ia tidak sebesar demonstrasi penyokong Bolsonaro yang mencecah 125,000 peserta berhimpun di lokasi sama Selasa lalu.
Hampir setahun menjelang pilihan raya, kaji selidik menunjukkan Lula yang bekas pemimpin kesatuan pekerja yang pernah menjadi presiden Brazil antara 2003 hingga 2010, mendahului Bolsonaro. – AFP, 13 September, 2021.
Komen