MENTERI Luar Israel Yair Lapid mengusulkan rancangan menambah baik kehidupan di Gaza jika pemimpin Hamas sedia untuk berdamai, sekali gus menamatkan keganasan.
Rancangan merangkumi pembangunan infrastruktur dan manfaat pekerjaan itu bertujuan menunjukkan kepada warga Palestin bahawa kempen keganasan Hamas adalah punca serangan balas Israel.
Lapid berkata penduduk Israel hidup dalam kemiskinan, kekurangan, keganasan dan pengangguran tanpa harapan berpunca daripada keganasan Hamas.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak menawarkan rundingan kepada Hamas kerana Israel tidak berunding dengan kumpulan pengganas yang mahu memusnahkan negara itu.
Lapid yang dijangka mengambil alih jawatan perdana menteri dalam tempoh dua tahun lagi susulan perjanjian penggiliran, berkata rancangan itu belum menjadi sebahagian dasar rasmi kerajaan gabungan lapan parti Israel.
Katanya, rancangan itu mendapat sokongan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett dan dalam fasa pertama rancangan itu, infrastruktur di Gaza yang memiliki dua juta penduduk, akan ditambah baik.
“Sistem elektrik akan dibaiki, gas akan dihubungkan, loji penyulingan air laut air akan dibina selain penambahbaikan ketara pada sistem penjagaan kesihatan dan pembinaan semula infrastruktur perumahan serta pengangkutan akan dilaksana.
“Sebagai pertukaran, Hamas perlu menyatakan komitmen untuk berdamai untuk tempoh yang panjang,” katanya dalam ucapan di Reichman University di Herzliya.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa juga perlu memainkan peranan dalam proses berkenaan, khususnya Mesir. – AFP, 13 September, 2021.
Komen