TIGA anggota tentera Ukraine terbunuh dan 10 lagi cedera apabila pertempuran kembali meletus di timur negara itu yang dilanda perang.
Dalam satu kenyataan, tentera memaklumkan kumpulan pemisah pro-Rusia melepaskan tembakan ke arah tentera Ukraine menggunakan peluru artileri, bom tangan, peledak, pelancar dan dron dalam tempoh 24 jam lalu.
Tentera berkata dua individu terbunuh pada Sabtu lalu dan 10 lagi cedera, manakala individu ketiga meninggal dunia semalam, dalam sebahagian besar serangan di wilayah Donetsk itu.
“Tiada mangsa dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya dalam satu kenyataan terdahulu.
Tentera Ukraine terikat dalam konflik dengan pejuang pemisah di wilayah Donetsk dan Lugansk, selepas Russia menawan Crimea pada 2014.
Kiev berkata sekurang-kurangnya 53 tentera Ukraine terbunuh sejak awal tahun ini, berbanding 50 sepanjang tahun lalu manakala kumpulan pemisah memaklumkan kehilangan lebih 30 tentera sejak awal tahun ini.
Ukraine dan sekutu Barat mendakwa Russia menghantar tentera dan senjata bagi menyokong kumpulan pemisah, namun dinafikan Moscow.
Jumaat lalu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, tidak menolak kemungkinan perang habis-habisan dengan Russia akan berlaku.
Bagaimanapun, jurucakap Presiden Russia Vladimir Putin Dmitry Peskov menyifatkan kenyataan itu sebagai satu “malapetaka”.
Jumaat lalu, Russia dan Belarus melancarkan latihan ketenteraan membabitkan 200,000 anggota, yang juga antara latihan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan.
April lalu, Russia menghimpunkan sekitar 100,000 tentera di sempadan Ukraine, yang mencetuskan kebimbangan konflik antara dua negara itu bakal memuncak, namun Moscow kemudian mengumumkan menarik balik tenteranya. – AFP, 13 September, 2021.
Komen