Penjual kereta terpakai rugi RM400 juta dalam 3 bulan


Noel Achariam

PKP lebih ketat yang dikuatkuasakan kerajaan disebabkan oleh lonjakan kes Covid-19 menyebabkan penjual kereta terpakai rugi RM400 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

PENJUAL kereta terpakai yang berdepan kerugian RM400 juta dalam tiga bulan terakhir berharap dapat menutup kerugian apabila lebih banyak negeri memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Penurunan jualan kenderaan baharu dan terpakai kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat disebabkan oleh lonjakan kes Covid-19 dari Julai hingga Ogos, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Jabatan Perangkaan juga melaporkan kenderaan bermotor sebagai subsektor berprestasi terburuk dalan jualan runcit untuk Julai tahun ini yang mencatatkan negatif 85.6%.

Presiden Gabungan Persatuan Perusahaan Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Tony Khor berkata, jualan ditutup sejak Mei.

Semua negeri kini berada di Fasa 2 atau ke atas dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya baru memasuki fasa ini sejak 10 September.

“Dari Januari hingga Mei, jualan kami berada dalam keadaan baik. Kami memperoleh keuntungan hingga 18%. Tetapi sejak Jun, kami berdepan kerugian akibat PKP yang memaksa peniaga menutup kedai. Pihak berkuasa (untuk memproses jualan kereta) juga tidak beroperasi.

Khor berkata, persatuan itu kini mempunyai 4,556 ahli yang merangkumi peniaga kereta baharu dan terpakai serta syarikat kredit yang menyediakan perjanjian sewa beli.

Inventori kolektif mereka mempunyai kira-kira 90,000 kenderaan bernilai kira-kira RM3 bilion.

“Susut nilai bulanan kenderaan adalah 0.5%. Sebilangan peniaga memegang beberapa unit (kenderaan) tetapi yang lain dapat mempunyai sehingga 30 atau lebih 100 unit.

“Jadi, mereka berdepan kerugian sejak PKP,” katanya.

Mengenai berapa banyak perniagaan yang ditutup Khor berkata, mereka belum mengira jumlah berkenaan.

“Apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan, kami merancang untuk melakukan tinjauan berapa ramai peniaga yang masih beroperasi. Ia mungkin dalam beberapa bulan ke depan,” katanya.

Khor berkata, walaupun sekatan dilonggarkan di beberapa negeri lain, tidak ramai peniaga kereta terpakai yang bersemangat untuk memulakan semula operasi. 

“Beberapa (peniaga) tidak mahu membuka kedai, kerana mereka masih bimbang dengan pandemik dan varian virus lain.

“Kami juga mendesak semua anggota kami diberi vaksin,” katanya.

Bagaimanapun, pembukaan semula juga mendatangkan masalah baharu.

Selepas beberapa bulan tidak beroperasi, kereta tidak berada dalam keadaan baik.

“Kereta tidak dapat dihidupkan dan bateri mempunyai masalah selain masalah lain apabila kereta tidak digunakan selama tiga bulan.

“Sekarang kita dibenarkan untuk beroperasi, kita dapati kita lebih banyak berdepan masalah dan kerugian,” katanya. – 15 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen