Penduduk kawasan kami tercicir program bakul makanan, kata wakil rakyat pembangkang


Bernard Saw

Wakil rakyat pembangkang berkata golongan miskin di kawasan mereka yang mohon bantuan bakul makanan masih belum menerimanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

WAKIL rakyat pembangkang mereka tidak diminta membantu dalam program Bakul Prihatin Negara kerajaan persekutuan dan golongan miskin di kawasan mereka mengadu tentang kelewatan agihan bantuan itu.

Ini menyebabkan penduduk kawasan masing-masing meminta bantuan wakil rakyat, selepas terlalu lama menunggu bantuan yang dijanjikan kerajaan persekutuan.

Agihan bantuan bakul bantuan itu boleh dilakukan dengan lebih cepat dan efisyen jika wakil rakyat daripada pembangkang turut sama dibabitkan, kata mereka.

Ramai golongan miskin yang layak menerima bakul makanan itu membuat permohonan sejak program berkenaan dilancarkan pada Julai, tetapi masih lagi belum mendapat bantuan, kata mereka.

Program itu yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyasarkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat perintah berkurung bagi menyekat penularan Covid-19.

Sehingga bulan ini, seorang pekerja sosial di Selangor yang membantu dua golongan kurang upaya memohon bantuan bakul makanan, berkata mereka masih lagi belum menerima bantuan itu.

Sukarelawan yang enggan mendedahkan namanya itu berkata beliau menghubungi talian hotline program itu bulan lalu untuk menyemak permohonan mereka.

Tetapi hingga kini, bakul makanan itu atau maklum balas dari JKM langsung tiada.

“Bakul makanan itu bernilai RM50 dan ia sepatutnya dihantar ke rumah pemohon. Kos penghantaran RM5 akan ditanggung JKM. Hingga sekarang mereka belum menerimanya lagi,” katanya.

Wakil rakyat pembangkang tidak terbabit

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu mengesahkan wakil rakyat pembangkang tidak dimaklumkan siapa di kawasan mereka yang akan menerima bakul makanan itu.

Mereka juga tidak dihubungi untuk membantu mengagihkan bantuan itu, katanya.

“Mungkin wakil rakyat Bersatu dan Barisan Nasional terima bakul makanan itu (untuk diagihkan), tetapi kami tidak tahu,” katanya yang juga wakil rakyat DAP.

Rakan separtinya, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata beliau juga tidak pernah mendengar atau melihat bantuan bakul makanan di kawasannya.

Adun Balakong Wong Siew Ki, juga wakil rakyat DAP, berkata beliau masih menerima banyak permintaan untuk mendapat bantuan makanan daripada kumpulan terjejas, termasuk pekerja warga asing, yang tidak menerima sebarang bantuan JKM.

Beliau berkata kementerian tidak cukup komprehensif dalam membantu kumpulan terjejas ketika epidemik Covid-19.

Wong memulakan program sendiri untuk menyediakan bantuan kepada golongan miskin dan memastikan tidak ada siapa yang tercicir dalam menerima bantuan. – 13 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen