Baik buruk hadkan tempoh lantikan PM, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Adalah pelik untuk mengehadkan waktu perjawatan perdana menteri hingga 10 tahun dan bukannya dua penggal, kata Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September 2021.

MENGEHADKAN tempoh pelantikan perdana menteri hingga 10 tahun akan memastikan individu yang memegang jawatan itu tidak terlalu berkuasa dan dapat mengurangkan risiko menyalahgunakannya, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun, kata mereka ini tidak akan menghentikan sepenuhnya penyalahgunaan kuasa di pejabat perdana menteri.

Bagi mengahalang amalan buruk, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk melepaskan pemusatan kuasa kerajaan persekutuan.

Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata mengehadkan tempoh akan menghentikan ahli politik daripada memperibadikan kuasa dalam pentadbiran negara.

“Kita dapat lihat Dr. Mahathir Mohamad misalnya yang pernah memegang jawatan perdana menteri selama lebih 22 tahun masih berpendapat tiada yang mampu memimpin pentadbiran negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun berpendapat adalah pelik untuk mengehadkan tempoh perjawatan hingga 10 tahun dan bukannya dua penggal.

Malaysia mengadakan pilihan raya umum setiap lima tahun. Tetapi pada kebiasaannya ia akan diadakan sebelum cukup tempoh lima tahun.

“Berdasarkan kata-kata yang diungkapkan, ia mungkin bermaksud perdana menteri baru akan dilantik pada pertengahan penggal, atau setidak-tidaknya sebelum penggal perdana menteri tertentu berakhir.

“Alternatif lebih baik adalah mengehadkan tempoh dua penggal Parlimen supaya individu yang menjadi perdana menteri berdsarkan pemilihan dalam pilihan raya umum,” kata Tunku Mohar.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menawarkan transformasi Parlimen dan reformasi tadbir urus termasuk mengehadkan tempoh pelantikan perdana menteri hingga 10 tahun.

Dalam sejarah Malaysia, hanya dua pemimpin yang memegang jawatan perdana menteri lebih daripada 10 tahun.

Pertama adalah bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 13 tahun dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Sebelum itu, dari tahun 1955 hingga 1957 – sebelum kemerdekaan – beliau berkhidmat sebagai ketua menteri Persekutuan Tanah Melayu di bawah pemerintahan Inggeris.

Selepas Tunku, perdana menteri keempat dan ketujuh Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri selama 24 tahun

Dr Mahathir merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen