BILL Cosby, penghibur veteran Amerika Syarikat (AS) yang terjejas imejnya susulan dakwaan serangan seksual yang dihadapinya, dijangka kembali ke pentas hiburan buat pertama kali selepas tiga tahun menyepi.
Persembahan itu akan berlangsung hanya beberapa bulan sebelum beliau dijadualkan ke mahkamah untuk menyambung perbicaraan kesnya.
Kehadiran pelakon dan pelawak komedi berusia 80 tahun itu adalah sebahagian penampilan istimewa bagi menghormati pemain dram dan pemuzik jazz terkemuka, Tony Williams di LaRose Jazz Club di Philadelphia, kata jurucakapnya.
Tiket akan dijual di pintu masuk.
Penampilan secara umum ini yang pertama bagi Cosby sejak Mei 2015, apabila CNN melaporkan sekumpulan wanita di Atlanta mendakwa beliau melakukan serangan seksual.
Beliau didakwa pada Disember 2015 dan dibicarakan pada Jun tahun lalu, atas tuduhan memberi pil khayal dan mencabul seorang bekas pegawai bola keranjang sebuah universiti di kediamannya di Philadelphia pada 2004. – AFP, 23 Januari, 2018.
Komen