1,298 pesakit Covid-19 di ICU, 744 bantuan pernafasan, kata KP kesihatan


Raevathi Supramaniam

Kira-kira 98.7% daripada jumlah jangkitan baharu dilaporkan hari ini adalah pesakit kategori 1 dan 2. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

PENGGUNAAN unit rawatan rapi bagi pesakit Covid-19 kekal tinggi dengan 1,298 pesakit dirawat di ICU hingga tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 1,298 kes itu, 960 disahkan kes Covid-19 manakala 338 dikategorikan sebagai kes yang disyaki dan masih di bawah siasatan.

Seramai 744 pesakit kini menggunakan bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan petang ini.

Daripada jumlah 744 itu, 444 daripadanya disahkan sebagai pesakit Covid-19 manakala 300 kes yang disyaki dan masih di bawah siasatan.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 20,980 pesakit yang pulih berbanding 19,198 yang dijangkiti. Kenyataannya petang ini tidak menyebut jumlah kes yang masih aktif.

Kira-kira 98.7% (18,945) daripada jumlah jangkitan baharu dilaporkan hari ini adalah pesakit kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau hanya menunjukkan gejala ringan.

Baki 1.3% (253) daripada kes baharu adalah dalam kategori lebih teruk 3, 4 dan 5. Mereka adalah pesakit yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau menggunakan ventilator.

Bagi kluster baharu Covid-19, 34 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di negara ini kepada 1,440.

Tiada jumlah kematian disertakan dalam kenyataan Dr Noor Hisham hari ini.

Ketiadaan angka kematian dan kes aktif adalah disebabkan pendekatan baharu Kementerian Kesihatan yang memaklumkan kepada umum mengenai data Covid-19.

Data kematian dan kes aktif sebaliknya akan dikemaskini dalam laman web baharu kementerian itu Covidnow selepas tengah malam setiap hari.

Pagi ini, pegawai kementerian berkata, pendekatan data baharu berbeza antara “kematian yang dilaporkan” dengan “jumlah sebenar kematian”.

Kematian yang dilaporkan akan merangkumi semua kematian yang diumumkan dalam sehari termasuk mereka yang tidak disenaraikan dalam tarikh sebenar kematian mereka.

Jumlah kematian sebenar pula adalah angka kematian Covid-19 yang berlaku pada hari tersebut.

Semalam, 592 kematian diumumkan namun hanya 100 daripada mereka pesakit yang meninggal pada hari itu. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen