Vaksinasi remaja di Terengganu selepas 80% populasi dewasa lengkap divaksin


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebanyak 93,262 remaja di Terengganu dikenal pasti layak menerima vaksin dan program vaksinasi terhadap mereka akan dijalankan di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September 2021.

PROGRAM vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Terengganu akan bermula sejurus 80% populasi dewasa di negeri itu lengkap menerima vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebanyak 93,262 remaja di Terengganu dikenal pasti layak menerima vaksin dan program vaksinasi terhadap mereka akan dijalankan di sekolah.

“Sasaran 80% vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di Terengganu dijangka dicapai pada minggu akhir bulan ini (September) dan seterusnya program pemberian vaksin kepada remaja dimulakan selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin outreach dari rumah ke rumah di Taman Desa Paloh, di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga Jumaat (10 September) sebanyak 67% populasi dewasa di Terengganu lengkap menerima vaksin manakala lebih 90% populasi dewasa di negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Beliau berkata setakat petang semalam (11 September), pemberian kumulatif dos vaksin di Terengganu adalah sebanyak 1.26 juta dos.

Dalam perkembangan sama, Dr Adham berkata sebanyak 87,538 warga emas; 16,093 orang kurang upaya (OKU); dan 221, 301 individu yang mempunyai komorbiditi di Terengganu lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

“Berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin COVID-19 semasa mesyuarat CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19), Terengganu bakal menerima tambahan bekalan vaksin sebanyak 643,187 dos sepanjang September ini.

“Terengganu juga telah memperluas program vaksinasi walk-in terhadap individu berumur 18 tahun ke atas di PPV (pusat pemberian vaksin) tertentu di semua daerah. Setakat ini sekurang-kurangnya 14 PPV telah melaksanakan vaksinasi walk-in ini,” katanya. – Bernama, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen