Ikrar Annuar Musa sebagai menteri komunikasi


SAYA berjanji Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menjadi suara kerajaan dan merasa denyutan nadi rakyat.

Saya akan merubah KKMM menjadi sebuah kementerian yang bukan sahaja membawa informasi kepada rakyat tetapi juga sebagai satu kementerian yang responsif dan proaktif kepada keperluan rakyat.

KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara, meskipun di kampung yang paling terpencil.

Tidak ada titik perhentian di dalam dunia informasi dan multimedia kerana kedua-dua industri ini sentiasa berjalan dan sentiasa ke hadapan. Sekiranya kita berhenti sejenak, kita akan ketinggalan di belakang. Kerajaan mesti di hadapan rakyat kerana rakyat mengharapkan kerajaan.

Ini cara saya bekerja dan ini cara dunia berjalan.

Sebaik sahaja saya mengangkat sumpah untuk menerajui KKMM pada 30 Ogos, saya telah terus mengambil pendekatan untuk mengenali peranan setiap Jabatan iaitu Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta agensi iaitu Bernama, Finas, MCMC, MDEC, MyNIC, Cybersecurity Malaysia dan MyCreative Ventures.

Ini adalah seiring dengan objektif saya untuk mengangkat KKMM ke persada yang lebih baru dan lebih dinamik, seiring dengan masa dan keperluan rakyat Malaysia sebagai rakyat global.

Selama dua minggu yang lalu, setiap hari saya telah melawat, berjumpa, mendengar taklimat dan mengadakan sesi libat urus dengan pengurusan tertinggi dan kakitangan semua jabatan dan agensi bawah KKMM, dari unit yang paling kecil sehinggalah yang paling besar seperti RTM dan JaPen.

Oleh kerana keperluan untuk saya mengetahui cara perjalanan, pentingnya peranan dan keinginan saya untuk menjadikan KKMM satu kementerian yang berfungsi dan responsif terhadap rakyat, saya telah mengadakan libat urus dan sesi perjumpaan dengan 11 jabatan dan agensi yang ada sampai ke tengah malam.

Saya bukan sahaja hendak menjadikan KKMM sebagai kementerian yang akan memberikan informasi yang tepat dan jitu, tetapi saya juga mahu KKMM menjadi satu kementerian yang proaktif, bersama dengan rakyat dan memastikan setiap rakyat Malaysia tidak kira di mana jua mereka berada, mempunyai akses dan connectivity yang berkualiti.

Pada masa ini, KKMM mempunyai lebih kurang 670 kakitangan di bawahnya dan oleh kerana ada Jabatan dan Agensi yang bukan di Putrajaya, saya mengambil inisiatif untuk bertemu dengan mereka di pejabat mereka di Kuala Lumpur dan juga Petaling Jaya.

Dengan semua saluran informasi dan multimedia, tidak akan ada sesiapa yang akan tertinggal dan tidak akan ada yang akan diketepikan.

Saya juga mahu memastikan kerajaan hari ini akan mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab. Oleh itu, adalah penting untuk KKMM reinvent, rejuvenate dan menjadi lebih kreatif supaya KKMM akan terus menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.

Saya berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia. – 12 September, 2021.


* Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen