PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mempertahankan keputusan mengundurkan tentera AS dari Afghanistan dengan menyatakan negara itu tidak boleh “menyerang” setiap negara yang ada Al-Qaeda.
“Adakah Al-Qaeda akan kembali di Afghanistan?
“Ya, mereka sudah kembali ke tempat lain, tetapi apakah strateginya. Mustahil kita mahu menceroboh di semua tempat di mana Al-Qaeda berada dan tempatkan anggota tentera kita di sana.
“Sebanyak 70% rakyat berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur dari Afghanistan,” katanya kepada wartawan ketika melawat Jabatan Sukarelawan Bomba Shanksville di Pennsylvania.
Beliau berada di premis itu bagi menzahirkan penghargaan kepada anggota yang terbabit sebagai pasukan pertama tiba di lokasi nahas pesawat 11 September, 2001.
Biden berkata adalah menjadi kesalahan untuk menganggap Afghanistan dapat disatukan sepenuhnya.
“Pasukan tentera AS sudah mencapai misi utama mereka iaitu ketika pasukan khas membunuh pengasas Al-Qaeda, Osama bin Laden pada 2 Mei, 2011 di sebuah kompleks di Pakistan,” katanya.
Campur tangan AS di Afghanistan bermula selepas serangan 11 September, 2001 yang menarik negara itu ke dalam kancah peperangan terpanjangnya.
Semalam, Biden berada di Manhattan untuk menghadiri upacara bagi memperingati tragedi serangan 11 September.
Dia tidak dijadualkan membuat kenyataan kepada umum, tetapi apabila ditanya wartawan mengenai pengunduran tentera dari Afghanistan, Biden berkata dia sudah lama melakukan perkara itu. – Bernama, 12 September, 2021.
Komen